SYARIKAT GAGAL BAYAR AMAUN GST AKAN DIKENAKAN PENALTI: KP KASTAM
PUTRAJAYA: Syarikat yang gagal membayar amaun Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 31 Januari ini akan dikenakan penalti antara lima hingga 25 peratus ke atas amaun asal cukai.
Ketua Pengarah Kastam Malaysia Datuk Seri Khazali Ahmad berkata perkara ini adalah selaras dengan pindaan yang dibuat kepada Seksyen 41 Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014, berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.
Katanya, pengenaan penalti akan bermula bagi tempoh bercukai yang mana bayaran cukai genap masa dan kena dibayar dalam tempoh yang ditetapkan.
Kadar pengiraan penalti adalah berdasarkan bilangan hari GST tidak dibayar.
Bagi tempoh 1 hingga 30 hari, kadar penalti ke atas amaun asal cukai dikenakan adalah lima peratus; tempoh 1 hingga 60 hari (kadar penalti 15 peratus) dan tempoh 1 hingga 90 hari (kadar penalti 25 peratus).
"Bagi mereka yang gagal membayar amaun GST melebihi tempoh 90 hari, juga akan dikenakan kadar penalti maksimum 25 peratus," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Khazali berkata kadar penalti akan dikenakan ke atas amaun asal cukai yang genap masa dan kena dibayar serta akan bermula selepas tarikh akhir cukai kena bayar. - BERNAMA
Comments
Post a Comment