MEDIA SOSIAL BOLEH JADI MEDIUM PENYUMBANG KES CERAI


KUALA LUMPUR:  Trend penggunaan gajet elektronik dan media sosial didapati mampu menjadi penyebab penceraian, kata seorang pakar keluarga.

Pakar Psikologi dan Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Mariani Mohd Nor berkata aplikasi seperti WhatsApp boleh menjadi platform untuk pasangan muda meluahkan perasaan marah apabila berhadapan konflik rumah tangga.

"Apabila masing-masing merasa marah, lalu menghantar mesej dalam WhatsApp misalnya. Ia boleh menimbulkan intonasi suara dan hasrat yang berbeza, disusuli persepsi negatif si penerima yang berlawanan dengan niat sebenar si penghantar mesej," katanya.

Beliau mengulas laporan akhbar bahawa kadar perceraian masyarakat Islam di Malaysia semakin membimbangkan dengan lebih 274,000 pasangan bercerai dalam tempoh enam tahun lalu.

Statistik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia juga menunjukkan 38,035 pasangan bercerai sepanjang tempoh Januari hingga Ogos tahun lalu yang secara purata terdapat 156 pasangan Islam bercerai setiap hari.

Mariani berkata pada zaman canggih ini, penggunaan WhatsApp juga boleh mendorong kepada perbuatan curang yang mana perkenalan biasa antara lelaki dan wanita menerusi aplikasi media sosial boleh membawa kepada perhubungan mesra hingga melupakan batas pergaulan.

"Penggunaaan media sosial seperti Facebook dan Instagram juga boleh membawa kepada hubungan yang tidak baik antara suami isteri kerana masing-masing mungkin tidak menjaga sensitiviti perhubungan mereka dengan memuat naik status dan gambar masing-masing yang tidak bersesuaian, untuk tatapan orang lain," katanya.

Menjaga keharmonian

Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Prof Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din menyifatkan perceraian yang melibatkan 156 kes setiap hari adalah sangat tinggi dan wajib menyedarkan semua pihak terutama bagi pasangan yang mahu berkahwin mengenai kepentingan menjaga keharmonian rumah tangga.

Beliau berkata pasangan seharusnya tahu dan faham bahawa setiap perceraian akan memberi gangguan kepada sistem diri anak-anak dan keluarga mereka termasuk soal kerjaya masing-masing.

"Pasangan sebaiknya mempunyai ilmu dan pengetahuan tentang komunikasi berkesan iaitu cara pengurusan konflik, pengendalian krisis, psikologi keluarga dan pengurusan persepsi yang berkesan," katanya.

Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Saedah Abdul Ghani berkata kursus praperkahwinan yang diwajibkan kepada pasangan yang akan bernikah perlu disusun semula mengikut kesesuaian gaya hidup golongan muda yang semakin berubah.

"Pengisian dan intipati kursus perlu menitikberatkan pelbagai aspek berkaitan psikologi perkahwinan, kanak-kanak dan remaja selain kemahiran menangani konflik rumah tangga," katanya.

Beliau mencadangkan universiti turut menyediakan program pengajian berkaitan kaunseling keluarga dan perkahwinan kepada pelajar.- BERNAMA

Comments

Popular Posts