LALUAN ANTARABANGSA LANGKAWI TINGKATKAN SEKTOR PELANCONG: NAJIB
LANGKAWI: Laluan baru penerbangan AirAsia dari Guangzhou, China ke Langkawi akan memberi potensi untuk tingkatkan lagi sektor pelancongan.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, China merupakan sumber pelancongan terbesar untuk Malaysia.
Najib berkata kerajaan menyambut baik langkah AirAsia dalam memperkenalkan laluan antarabangsa di pulau ini.
"Saya lihat Langkawi bagaikan permata. Ia adalah satu destinasi yang penting untuk negara. Dengan keindahan alam semula jadinya, ianya tidak akan boleh berlaku tanpa hubungan.
"Dengan adanya penerbangan terus, ia adalah faktor penting untuk meningkatkan sektor pelancongan di Langkawi," katanya.
Tambahnya, penambahan laluan antarabangsa ke Langkawi juga akan menjadikan pulau ini sebagai salah satu destinasi pelancongan bertaraf dunia.
"Daripada 2.3 juta penumpang yang melalui lapangan terbang pulau itu pada 2015, hanya 176,000 penumpang asing datang terus dari China dan Singapura, manakala satu juta penumpang asing pergi ke Langkawi selepas memasuki Malaysia melalui KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur).
"Kita inginkan kedua-duanya sekali; pelancongan besar-besaran dan juga pelancongan bertaraf tinggi. Kita kena rancang untuk keduanya sekali kerana Langkawi mempunyai potensi," kata Najib hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri menyambut ketibaan penerbangan sulung AirAsia dari Guangzhou di kompleks Lang Merah, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, ketua pegawai eksekutif kumpulan AirAsia Berhad Tan Sri Tony Fernandes serta ketua-ketua eksekutif kumpulan AirAsia.
Sementara itu, Fernandes berkata AirAsia akan menambah beberapa laluan baharu ke Langkawi dalam tempoh lima tahun.
Antaranya termasuk Jakarta (Indonesia), Bangkok (Thailand), Shenzen dan Shanghai di China serta Hong Kong.- ASTRO AWANI
Comments
Post a Comment