KERAJAAN KINI SEDIA HADAPI CABARAN, PELUANG MENERUSI PELAKSANAAN TPPA

KUALA LUMPUR:  Kerajaan kini bersiap sedia bagi menghadapi cabaran dan peluang yang akan diperoleh melalui pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang diluluskan sidang khas Dewan Rakyat pada Rabu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata TPPA yang diluluskan Dewan Rakyat itu telah menjelaskan segala kebimbangan dan kekhuatiran pelbagai pihak.

"Melalui penggulungan, banyak isu termasuk kepentingan Bumiputera telah diperjelaskan, banyak konsesi kerajaan dapat rundingkan dan mengatasi banyak kebimbangan yang wujud dalam kalangan masyarakat termasuk peniaga-peniaga Bumiputera," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini pada Rabu.

Katanya apa yang lebih penting sekarang ialah kerajaan dan rakyat perlu menyiapkan diri bagi bersama-sama menghadapi cabaran dan peluang yang bakal wujud apabila TPPA jadi kenyataan dijangka pada 2018.

"Banyak kerja-kerja yang perlu dibuat seperti mempersiapkan syarikat dan peniaga untuk hadapi TPPA," katanya.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yakin TPPA yang ditandatangani tidak akan memberi impak negatif kepada ekonomi rakyat Malaysia termasuk dalam industri pertanian dan perikanan.

"Malah kita perlu bersiap sedia meningkatkan eksport akuakultur kerana menjangkakan lonjakan eksport sektor berkenaan ke negara-negara luar dengan terlaksananya TPPA," katanya.

Sementara itu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan menyifatkan keputusan Parlimen untuk meluluskan usul itu sebagai satu langkah bersejarah untuk menjadikan negara lebih maju.

Beliau berkata Malaysia tetap berpegang kepada polisi yang meletakkan perdagangan antarabangsa sebagai asas pembangunan negara.

"Memang dari dulu kita berdagang dengan negara luar, keputusan Parlimen hari ini satu lagi langkah yang besar dan bersejarah untuk negara kita lebih maju dan dapat menjadi mangkin kepada pembangunan.

"Saya gembira kerana majoriti anggota Parlimen mempunyai pandangan jauh dan melihat ini sebagai satu perkara yang baik kerana kita akan berintegrasi dengan ekonomi dunia," kata Anggota Parlimen Kota Belud itu.

Perbahasan sihat

Pendapat itu disokong Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said yang menyifatkan ia sebagai interpretasi bahawa kerajaan bersifat telus dengan memberi kebebasan untuk pembangkang menerima atau menolak TPPA.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Pengerang berkata kelulusan TPPA juga berjaya menyampaikan mesej kerajaan mengenai kepentingan negara dalam menyertai TPPA. 

"Perbahasan tersebut telah berlangsung dengan lancar walaupun ada ketikanya terdapat perbezaan pandangan antara pihak kerajaan dan pembangkang.

"Perbahasan secara sihat ini diharap dapat diteruskan dalam sidang-sidang akan datang," katanya.

Sementara itu ketua pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh berkata pembangkang tetap dengan pendirian tidak bersetuju, kerajaan menandatangani perjanjian tersebut.

Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berharap kerajaan dan rakyat akan memikirkan semula kesan-kesan yang ditanggung oleh negara akibat perjanjian TPPA.

Mesyuarat khas Dewan Rakyat pada Rabu meluluskan usul mempersetujui penglibatan Malaysia dalam TPPA, sekali gus meletak negara selangkah ke hadapan untuk menandatangani dan meratifikasi perjanjian kompetitif itu.

Usul itu diluluskan melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 127 anggota Dewan Rakyat menyokong manakala 84 lagi menolak.

Seramai 24 Anggota Parlimen membahaskan usul itu yang dikemukakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed pada Selasa. -BERNAMA

Comments

Popular Posts