ISU MUKHRIZ: BN, UMNO PERLU KERJA LEBIH KERAS JIKA MAHU MENANG LAGI - PENGANALISIS
KUALA LUMPUR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) Kedah bakal berdepan kesukaran mengahadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 sekiranya berlaku pertukaran Menteri Besar kelak.
Jentera parti perlu bekerja lebih keras dengan melipat gandakan usaha untuk memastikan BN kekal menguasai Kedah, kata Penganalisis Politik, Profesor Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed.
Katanya, umum sedia maklum, pengaruh Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada PRU lalu merupakan faktor utama kemenangan parti.
"Dalam konteks hari ini misalnya beliau diturunkan dan diganti dengan calon lain. UMNO terutamanya BN akan berdepan tugas berat kerana hari ini kita dapati sokongan masyarakat bukan sahaja penyokong UMNO sendiri bahkan penyokong yang bukan daripada UMNO sangatlah besar terutama kalau kita dapati mood daripada masyarakat sendiri terutama pembangkang, mereka kita boleh katakan rata-rata menyokong kepimpinan Menteri Besar.
"Saya pasti jika ada calon lain yang mungkin menggantikan beliau,UMNO dan BN akan hadapi tugasan yang sukar terutama dalam mermastikan kemenangan berpihak kepada BN dalam PRU-14 nanti," katanya kepada Astro AWANI.
Malah, katanya, bukan sahaja calon baru itu perlu dekat dengan masyarakat, dia juga haruslah berketerampilan dan satu kelebihan apabila individu itu mempunyai pendidikan.
Beliau memberi contoh, Datuk Ahmad Bashah yang dilihat sebagai seseorang yang dihormati dan dekat pada masyarakat sebagai calon untuk menggantikan jawatan Menteri Besar.
BACA: ADUN Kota Siputeh menangis pertahankan Mukhriz
BACA: 'Ambillah jawatan saya kalau rasa bagus sangat' - Mukhriz
BACA: Tiada ADUN dipaksa tandatangan akuan tak sokong Mukhriz - Ahmad Bashah
Selain itu, dari aspek pendidikan dan pengalaman politik, beliau berkata, ADUN Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail mempunyai kredibiliti yang baik dan personaliti yang boleh diketengahkan sekiranya berlaku perubahan dalam kepimpinan Kedah.
Bagaimanapun, Ahmad Martadha berpandangan, alasan yang diberikan 14 cawangan untuk menukar kepimpinan Menteri Besar pada minggu lalu tidak kukuh.
"Alasan yang diberikan tujuan perlu menukar Menteri Besar adalah alasan tidak kukuh, dalam konteks kita mempunyai pelbagai medium untuk berkomunikasi. Misalnya sebagai Menteri Besar tidak sentiasa berada di Kedah, pelbagai kaedah boleh digunakan untuk berkomunikasi.
"Ia satu alasan yang tidak kuat untuk mengatakan mereka hilang keyakinan terhadap Menteri Besar," katanya lagi. -ASTRO AWANI
Comments
Post a Comment