NAJIB TOLAK ANDAIAN TPPA ASALAH PENJAJAHAN AMERIKA, KUASA BESAR

KUALA LUMPUR:  Datuk Seri Najib Tun Razak berkata persepsi bahawa Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) merupakan suatu bentuk penjajahan oleh Amerika Syarikat dan kuasa-kuasa besar adalah tidak benar sama sekali.

Perdana Menteri menegaskan realitinya ialah penyertaan Malaysia dalam TPPA adalah dengan mengambil kira sepenuhnya kepentingan serta pulangan jangka panjang perjanjian ini kepada negara dan rakyat Malaysia khususnya.

"TPPA pastinya akan membuka lebih banyak ruang kepada Malaysia untuk meneroka pasaran baharu di negara-negara TPPA terutama di Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru," katanya dalam catatan di laman Facebooknya.

Najib menarik perhatian bahawa perjanjian perdagangan bebas (FTA) dan pelaburan langsung asing (FDI) bukan sesuatu yang baharu bagi Malaysia.

Malaysia, katanya, telahpun memeterai FTA dengan negara-negara seperti Jepun, China, Korea, India, Pakistan, Chile, New Zealand dan Australia.

Oleh yang demikian, kata Najib, tidak harus ada pihak membuat andaian bahawa perjanjian TPPA bakal menggadaikan negara kepada kuasa-kuasa besar.

Beliau menegaskan Malaysia tidak pernah dipaksa mahupun diberi tekanan untuk menyertai TPPA.

"Sebaliknya, penglibatan Malaysia dalam TPPA harus dilihat sebagai sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan untuk memastikan Malaysia kekal berdaya saing di medan ekonomi global," kata perdana menteri.

Katanya, daripada 12 negara yang bakal menandatangani TPPA, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang membentangkan TPPA di Parlimen untuk diperdebat dan diraktifikasi.

"Justeru, jelas bahawa negara berpegang teguh kepada prinsip demokrasi dengan memastikan pandangan dan kebimbangan rakyat terhadap perjanjian TPPA diambil kira sebelum TPPA ditandatangani," katanya.

Menyedari akan impak positif TPPA terhadap perkembangan ekonomi dan perdagangan, Najib berkata pemimpin-pemimpin negara TPPA lain turut menyambut baik perjanjian ini.

"Oleh itu, kita seharusnya melihat liberalisasi perdagangan plurilateral sebagai suatu bentuk pembangunan positif dan bukannya ancaman kepada sistem dagangan global," kata Najib, yang juga Menteri Kewangan.

Berbanding dengan FTA yang sebelumnya, beliau berkata TPPA mengambil kira kepentingan isu-isu khusus kepada Malaysia dengan memberikan pengecualian dalam hal-hal seperti hak Bumiputera, perolehan kerajaan, syarikat milik kerajaan dan sebagainya.

Di samping itu, kata perdana menteri, Malaysia mempunyai kebebasan untuk menarik diri daripada TPPA dengan memberi notis bertulis selama enam bulan.

"Maka TPPA bukan kontrak yang mengikat Malaysia selama-lamanya. Sekiranya TPPA dilihat merugikan negara maka Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat berhak untuk menarik diri daripada perjanjian tersebut," tegas beliau.

Mengulas lanjut, Najib berkata FTA seperti TPPA bukan sahaja dapat membuka pasaran kepada produk dan perkhidmatan, malah bakal membantu membangunkan perniagaan, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di samping memberi pilihan barangan pada harga lebih murah kepada rakyat Malaysia.

"Penerimaan baik terhadap TPPA oleh negara-negara TPPA jelas menunjukkan bahawa mereka bersetuju bahawa perjanjian ini merupakan peluang terbaik untuk memajukan serta merancakkan perkembangan ekonomi negara mereka," katanya.

Usul untuk memutuskan tentang penyertaan Malaysia dalam TPPA akan dibentangkan pada sidang khas Parlimen mulai Selasa ini.- BERNAMA

Comments

Popular Posts