Followers

NAJIB 4 TAHUN MENTADBIR. TARAF RAKYAT MENINGKAT EKONOMI NEGARA MAKMUR


KUALA LUMPUR - Taraf dan kualiti hidup rakyat semakin baik, ekonomi negara semakin makmur manakala keadaan kewangan kerajaan terus bugar dapat dirasai sepanjang empat tahun pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang memegang tampuk pentadbiran negara mulai 3 April 2009 dan memperkenalkan Gagasan 1Malaysia, komited melaksanakan yang terbaik dalam semua aspek pembangunan negara, khusus untuk rakyat selaras dengan tema "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Perjalanan Malaysia dalam menuju Wawasan 2020 untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi mungkin dapat dicapai lebih awal apabila Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun nyata memberi kesan yang hebat terhadap kesejahteraan rakyat dan negara.

Hasil kejayaan negara boleh disaksikan daripada peningkatan Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita daripada US$257 pada tahun 1957 kepada US$9,970 pada tahun lepas.

Berdasarkan Laporan Tahunan Program Transformasi Nasional yang dibentangkan Najib bulan lepas, kadar kemiskinan terus menurun daripada lebih 60 peratus pada awal kemerdekaan kepada 1.7 peratus pada tahun 2012.
Pendapatan isi rumah bulanan purata juga meningkat daripada RM4,025 pada tahun 2009 kepada RM5,000 pada tahun lepas, menyebabkan kuasa beli rakyat Malaysia adalah hampir dua kali ganda pendapatan per kapita yang ada.

Laporan itu juga menyebut bahawa kadar inflasi negara kekal berada di paras yang rendah iaitu 1.2 peratus pada Disember 2012 iaitu antara yang terendah di rantau ini.

Selaras dengan matlamat untuk menjadikan rakyat hidup dengan lebih selesa, Najib memperkenalkan beberapa produk 1Malaysia bagi membantu mereka yang berpendapatan rendah dan meringankan beban rakyat.

Pada pembentangan Belanjawan 2012, Najib mengumumkan bahawa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 diberi kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan dan ke bawah dan ia memberi manfaat kepada lebih enam juta rakyat Malaysia.

Bantuan itu kemudian diteruskan tahun ini dengan kriteria penerima diperluas kepada individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan, yang akan menerima bantuan RM250.

Ketika membentangkan laporan GTP bulan lepas, Najib turut mengumumkan bahawa BR1M akan diteruskan dan dijadikan inisiatif tahunan, sekaligus menunjukkan bahawa ia merupakan contoh terbaik iltizam kerajaan dalam menjunjung kesejahteraan rakyat.

Melalui inisiatif jenama 1Malaysia juga, rakyat mempunyai alternatif mendapatkan barangan keperluan harian dan perkhidmatan dengan kos yang secara puratanya 20 hingga 40 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

Justeru, kerajaan pimpinannya telah memperluaskan lagi pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Klinik Rakyat 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, pembinaan lebih banyak Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA), pemberian bantuan Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Karisma) dan Menu Rakyat 1Malaysia.

Krisis di Lahad Datu, Sabah, membuatkan Najib diuji hebat berhubung soal keselamatan dan kedaulatan negara apabila pencerobohan pengganas bersenjata dari Selatan Filipina berlaku Febuari lepas.

Nyata, beliau tidak gentar malah lantang bersuara menyampaikan mesej jelas kepada kumpulan pengganas itu bahawa Sabah adalah hak Malaysia buat selama-lamanya dan tegas menolak tawaran gesaan gencatan senjata.

Bagi mengelakkan insiden seumpama itu berulang kembali, beliau telah mengumumkan kewujudan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) meliputi 10 daerah di Sabah sebagai memberi asas perundangan kepada Kawasan Keselamatan Timur Sabah (ESSCOM).

Walaupun ada suara-suara sumbang yang mengatakan bahawa kejadian yang menumpahkan darah ramai pasukan keselamatan negara dalam Operasi Daulat itu sebagai sandiwara Umno, Najib menegaskan bahawa pengorbanan satria negara bukan untuk diperlekehkan tetapi untuk dikenang dan dihargai semua rakyat.

Justeru, beliau mengumumkan penyerataan pangkat-pangkat dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia dengan Perkhidmatan Awam Am berkuat kuasa 1 Januari tahun ini ketika berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-13 (MAPPA XIII) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bulan lepas.

Di samping untuk menghargai jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan negara, langkah itu juga diyakini akan menaikkan semangat anggota pasukan keselamatan itu untuk terus mempertahankan negara daripada pelbagai ancaman.

Di bawah Program Transformasi Komuniti, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) ditubuhkan sebagai satu daripada langkah strategik bagi mengembangkan permintaan untuk produk domestik, terutamanya produk luar bandar.

Berkonsepkan "Satu Hentian, Pelbagai Perkhidmatan", RTC pertama dibina di Gopeng, Perak dan beberapa lagi dibuka di Kelantan, Melaka dan Pahang manakala UTC pertama dilancarkan di Melaka, selain mini UTC yang ditempatkan di Sentul.

Umum mengetahui bahawa Parlimen akan dibubarkan secara automatik pada 30 April ini, justeru ramai yang ternanti-nanti pengumuman Najib bilakah beliau akan membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) diadakan.

Najib yang akan mengetuai pasukan Barisan Nasional (BN) buat pertama kalinya pada PRU kali ini mengatakan bahawa beliau memerlukan masa dan mahu rakyat benar-benar merasai hasil dari segala dasar dan program yang dilaksanakan di bawah GTP.

Beliau juga mahu kejayaan besar memihak kepada BN selain ingin menebus kekecewaan PRU ke-12 pada 2008 apabila BN buat pertama kalinya hilang majoriti dua per tiga di Parlimen serta empat negeri - Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor kepada pembangkang.

Malah, pemilihan Najib sebagai Pengarah Pilihan Raya BN Selangor dilihat mampu menyuntik semangat pemimpin parti komponen BN untuk berjuang habis-habisan merampas kembali negeri itu.

Pembangunan negara tidak akan tercapai sekiranya ekonomi negara tidak stabil, sehubungan itu, beliau telah memperkenalkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) pada lewat tahun 2010.

Sejak ia dilancarkan, kadar pertumbuhan pelaburan swasta telah berkembang lebih tiga kali ganda, mencatat peningkatan sebanyak 22 peratus pada tahun 2012, ini menyaksikan bahawa sektor swasta memainkan peranan utama sebagai pemacu ekonomi negara.

Agenda transformasi negara terus meniti kejayaan apabila Malaysia mengukuhkan pelbagai tangga kedudukan di peringkat antarabangsa.

Mengikut World Bank Ease of Doing Business Report 2013, secara keseluruhannya Malaysia merupakan negara ke-12 paling mesra perniagaan di dunia selain menduduki tangga pertama dari segi akses kepada kemudahan kredit.

Malaysia juga adalah negara ke-14 paling berdaya saing di dunia, menurut Institute of Management Development di dalam laporan World Competitiveness Yearbook 2012/2013.

Globe Shopper Index oleh Economist Intelligence Unit menunjukkan Kuala Lumpur sebagai pusat bandar beli belah kedua terbaik di Asia Pasifik.

Dalam pasaran modal pula, indeks KLCI Bursa Malaysia mencatat angka tertinggi iaitu 1,688 mata pada 31 Disember tahun lepas.

Segala pengiktirafan global yang diberikan kepada Malaysia adalah satu testimoni kejayaan kepada prakarsa GTP dan ETP sejak ia dilaksanakan dan menunjukkan bahawa negara berada di landasan yang betul.

Najib dilihat bukan membuat pelbagai dasar yang hanya cantik dilihat di atas kertas dan sedap didengar sahaja tetapi hasilnya dapat dirasai segenap lapisan masyarakat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment