CALON BN DALAM SARINGAN AKHIR, PERLU JALANI PEMERIKSAAN KESIHATAN


PUTRAJAYA -  Calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) akan diumumkan dalam tempoh tujuh hingga 10 hari sebelum hari penamaan calon, kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini.

Beliau berkata, Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyerahkan senarai calon kepada ketua-ketua perhubungan negeri.

"Ketua-ketua perhubungan negeri akan menyerahkan watikah pelantikan kepada calon-calon. Kita harap ia dapat dilaksanakan  dalam seminggu hingga 10 hari sebelum hari penamaan calon," katanya kepada pemberita selepas acara 'Kayuhan Patriotik 1Malaysia@ Putrajaya' di sini. 

Tengku Adnan berkata senarai calon BN kini dalam saringan terakhir termasuk pemeriksaan kesihatan, institusi kewangan, Polis  Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi.

"Sekiranya mereka sudah mendapat laporan kesihatan mereka enam bulan lepas, mereka boleh hantar kepada kami, sekiranya  belum, mereka perlu menjalani pemeriksaan kesihatan," katanya.

Tengku Adnan berkata BN sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya kali ini dan hanya menanti Suruhanjaya Pilihan Raya  (SPR) mengumumkan tarikh hari penamaan calon dan hari pengundian.

Beliau berkata Najib akan mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Tertinggi Umno pada 9 pagi esok dan selepas itu mesyuarat  khas Dewan Tertinggi BN pada 11 pagi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

"Kita akan melancarkan manifesto BN pada Sabtu ini di Stadium Tertutup Bukit Jalil, Kuala Lumpur," katanya. - Bernama 

Comments

Popular Posts