Followers

BUBAR PARLIMEN: TEKA TEKI 2 TAHUN DAN TEORI ANGKA 11


Datuk Seri Najib Tun Razak rupa-rupanya memilih hari ulang tahun keempat beliau sebagai perdana menteri untuk mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat setelah negara berteka-teki dan mengutarakan pelbagai teori tentang tarikhnya selama hampir dua tahun.

Pagi Rabu jemaah menteri sudah bersedia untuk menghadiri mesyuarat mingguan kabinet dengan menteri-menteri lelaki memakai sut gelap dan bertali leher merah dan menteri wanita menyarung pakaian merah, rupa-rupanya untuk sesi tradisi bergambar mesyuarat terakhir, sebelum mandat baharu diberikan melalui pilihan raya umum.

Pembubaran Dewan Rakyat hari ini memberi laluan kepada PRU13 dan kerajaan negeri-negeri juga diminta sama membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) masing-masing kecuali Sarawak bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak. Dun Negeri Sembilan terbubar secara automatik pada 28 Mac.
Ramalan awal PRU13 diadakan ialah pada 11 November 2011 berikutan angka 11 amat signifikan dalam hidup perdana menteri.

Najib, yang juga presiden Umno, sebelum itu menghangatkan tekaan PRU13 dengan berkata ia mungkin diadakan pada satu tarikh atau bulan yang mempunyai nombor kegemarannya iaitu 11.

Perdana menteri dilapor berkata kesukaannya pada nombor itu menyebabkan ramai pihak meramalkan bahawa pilihan raya umum iadakan pada 11.11.11.

Mungkin juga tarikh hari ini bertepatan 3+4+1+3 = (3.4.13) = 11.

Tahun lepas, peramal pilihan raya banyak menyebut pembubaran Dewan Rakyat akan berlaku pada bulan Mac. Ramalan ini berasaskan laporan media dan unjuran status ekonomi negara yang memberangsangkan. Namun ramalan ini juga silap.

Pada April tahun lepas, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abd Aziz Mohd Yusof dilapor berkata, SPR akan memuktamadkan persiapannya bagi pilihan raya umum pada Jun.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikkan Proses Pilihan Raya hanya akan mengemukakan semua cadangannya ke Parlimen pada April 2012.

Ini menguatkan andaian orang ramai bahawa pilihan raya umum akan diadakan pada Jun. Namun, telahan ini meleset.

Ramalan diteruskan dengan sasaran beralih kepada September.

Ahli politik dan penganalisis meramalkan perdana menteri akan membubarkan Dewan Rakyat selepas membentangkan Belanjawan 2013 pada 28 September 2012, yang sudah pasti memberi khabar baik kepada segenap lapisan rakyat, ditambah pula pada waktu itu musim cuti sekolah.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilapor menyatakan PRU13 akan diadakan pada September ketika musim haji bagi memastikan kejayaan Barisan Nasional (BN).

Najib pula dilapor sebagai berkata mengadakan pilihan raya semasa musim haji bukanlah sesuatu yang baharu kerana sejarah menunjukkan ia pernah diadakan pada 1986 tetapi menegaskan ibadah perlu diutamakan berbanding sebarang urusan lain termasuk pilihan raya.

Pas yang terlalu yakin bahawa Dewan Rakyat akan dibubar pada September turut mengeluarkan arahan meminta anggotanya yang terlibat secara langsung dalam PRU13, supaya menangguhkan ibadah haji, mengakibatkan parti itu dikritik pelbagai pihak termasuk mufti negeri yang menyifatkan tindakan itu tidak wajar.

Bulan berganti bulan, dari November 2011, Mac, Jun, September dan terakhir Disember 2012, tiada juga pembubaran Dewan Rakyat diumumkan perdana menteri.

Najib dalam temubual eksklusif bersama para pengarang Bernama dan Utusan Malaysia sempena Perhimpunan Agung Umno 2012 lepas dilapor berkata PRU13 boleh diadakan pada Disember, walaupun negara dilanda musim tengkujuh.

"Kalau hujan atau banjir, boleh naik sampan, naik bot," katanya dengan nada berseloroh ketika ditanya sama ada PRU13 akan diadakan dalam masa terdekat atau parlimen akan dibiarkan terbubar sendiri.

Najib tidak menolak kemungkinan pilihan raya boleh diadakan pada 2013 jika ia tidak diadakan pada Disember 2012 dan beliau mempunyai masa hingga 28 April 2013 untuk membubarkan Dewan Rakyat sebelum ia terbubar secara automatik 30 April.

Tarikh terakhir yang diramalkan pelbagai pihak ialah 15 Mac 2013.

Akhirnya masa yang ditunggu tiba jua, jelas Najib mempunyai perkiraan sendiri yang tidak ramai dapat menduga, bahawa tarikh bermakna kepada perdana menteri hari Rabu ialah jawapan yang dicari-cari selama ini.

Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment