MUZAKARAH HANYA PERMAINAN POLITIK PAS : ROSNAH


Kuala Lumpur, 23 Mei- Kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi yang menolak spekulasi cadangan muzakarah antara UMNO dan PAS dan mengaitkan bahawa ini adalah permainan politik UMNO menggambarkan ada pihak-pihak yang tertentu yang mengawal tindak-tanduk parti itu.
Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Rosnah Binti Haji Abd Rashid Shirlin berkata, ini jelas menunjukkan bahawa pemimpin-pemimpin parti ini mungkin bertuankan dengan pihak yang lain di luar daripada PAS dan mempunyai agenda politik yang peribadi.
"Sebenarnya, Presiden PAS tersebut tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk menolak cadangan muzakarah tersebut yang dicadangkan sendiri oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini.  Di kalangan para pemimpin PAS itu sendiri ada yang menolak cadangan muzakarah tersebut.
Oleh itu, jelas kecelaruan pendapat di kalangan para pemimpin parti ini. Walau bagaimanapun, Mursyidul Am PAS itu pula telah menerapkan tiga syarat kepada UMNO sebelum mengadakan muzakarah ini. Tetapi, yang nyatanya para pemimpin PAS itu sendiri perlu bermuzakarah sesama mereka untuk mencapai sepakat bahawa muzakarah dengan UMNO dapat direalisasikan," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Pergerakan Puteri UMNO menggesa supaya segala kekeliruan terutamanya di kalangan pemimpin PAS ini dapat diselesaikan dan muzakarah antara UMNO dan PAS dapat diadakan. Muzakarah yang hendak dilakukan harus mengenepikan segala fahaman politik mana-mana parti demi kesarwajagatan bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini.
"Jika mana-mana pihak terus menerus memberikan alasan dan dolak-dalik dalam usaha untuk mencapai kesepakatan, bangsa Melayu akan terus rugi dan berpecah dan pihak-pihak lain yang berkepentingan peribadi pasti akan mengambil kesempatan atas kelemahan ini.
Sewajarnya, harapan Puteri UMNO ialah agar muzakarah yang hendak dilakukan dapat membantu menyelesaikan belenggu masalah-masalah yang membabitkan umat Islam di negara ini. Yang paling penting bahawa niat yang ikhlas perlu ada bagi memastikan muzakarah yang hendak dilakukan mencapai matlamatnya," tambahnya lagi.
Sumber: malaysianview portal



Sent from Samsung Galaxy Note

Comments

Popular Posts