DUNIA ISLAM PERLU KECAPI RESOLUSI KESELURUHANNYA: PM

KUALA LUMPUR 16 Jun - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan revolusi politik semata-mata tidak akan membawa natijah yang diinginkan tetapi sebaliknya disepakati dengan revolusi sosial, pemikiran dan pembinaan institusi yang kukuh.

Beliau berkata revolusi politik yang berlaku di rantau Timur Tengah seperti Tunisia, Mesir, Libya, Syria, Yemen dan Bahrain tidak akan membantu memperbetulkan tanggapan dunia Barat terhadap gelombang Islamophobia.

"Ironinya mereka yang pernah berdegar-degar bercakap mengenai revolusi politik di dunia Arab, menganggapnya pembaharuan politik...tetapi kesedaran politik sudah mula terima kenyataan bahawa revolusi politik semata-mata tidak membawa natijah yang dinginkan," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Antarabangsa Fiqh Mentaati Pemimpin di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam tadi.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata keadaan itu membuatkan Islam berdepan dengan gugatan politik yang sebenarnya memberi ruang kepada orang lain, membentuk perspektif yang lebih buruk terhadap Islam.

Beliau berkata sejak Disember 2010 sehingga kini, tidak banyak perubahan yang dapat disaksikan di rantau Timur Tengah, malah ekonominya masih lagi terpecah-pecah dan rakyat berdepan dengan kesulitan.

Justeru, katanya, pendekatan wasatiyyah wajar ditekankan dalam mengemukakan pandangan dan pendirian politik bagi memastikan pandangan yang dikemukan secara bersederhana, mengelakkan ekstrimisme serta meletakkan kepentingan umat melebihi percaturan dan kepentingan politik.

Beliau juga berpandangan bahawa hubungan baik pemimpin dan rakyat mesti diasuh dengan adab ketinggian akal budi, sementara suara rakyat berhak didengar dan disantuni.

"Idealisme, visi dan misi seorang pemimpin juga wajar dijadikan asas dan panduan dalam kita membuat keputusan yang tepat. Makna kata hubungan pemimpin dan rakyat ini adalah saling memerlukan," katanya.

Katanya kualiti kepimpinan yang dilihat oleh Islam berhubung rapat dengan menunaikan amanah tanggungjawab kepimpinan. Dalam hal itu katanya, pemimpin mesti bersikap terbuka, sanggup menerima kritikan dan mengubah tanggapan negatif yang merosakkan kesejahteraan pengikut dan rakyat.

Najib turut menggariskan hak-hak pemimpin iaitu untuk mendapat kepatuhan dan taat setia daripada pengikutnya, mendapat kerjasama bagi sesuatu perancangan dan program yang digerakkan oleh pemimpin berjaya mencapai objektifnya serta hak untuk mendapat nasihat dan teguran yang baik dari pengikutnya.

"Dalam hal ini pemimpin juga wajar bersifat terbuka, bersedia menerima teguran dan nasihat," katanya.

Najib berkata sebagai pemimpin beliau sedar majoriti rakyat mengharapkan sebuah kepimpinan yang berwibawa dan berintegriti, mampu mengisi harapan rakyat untuk mempunyai sebuah sistem pentadbiran yang baik dan membawa keadilan untuk semua.

Seminar tiga hari itu bertujuan membincangkan isu dalam ilmu Fiqh yang sering diabaikan iaitu prinsip membabitkan hubungan rakyat dan pemimpin.

Antara ahli panel luar negara yang akan membentangkan kertas kerja ialah Imam Masjidil Haram Mekah, Syeikh Maher al-Mueaqly, Dekan fakulti Syariah Universiti al-Bayt Jordan Syeikh Dr Mohamed Ali Alzhhool.

 sumber: KLpos
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Comments

Popular Posts