PROJEK LOJI PENGELUAR PANEL SOLAR DI PULAU PINANG DIPERSOAL

BUTTERWORTH 25 Mac — Parti Cinta Malaysia (PCM) mempersoalkan bagaimana projek loji pengeluaran panel solar yang akan dibina di Batu Kawan diluluskan oleh kerajaan negeri sedangkan belum mendapat lesen operasi atau kebenaran daripada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB).

Naib Presiden PCM, Huan Cheng Guan berkata, lesen operasi AELB atau kelulusan merupakan prasyarat wajib bagi mana-mana kilang atau kilang yang menghasilkan bahan-bahan radioaktif sebagai produk atau sisa.

Katanya, sebuah portal berita semalam memetik Ketua Pengarah AELB, Raja Abdul Aziz Raja Adnan sebagai berkata, pihaknya belum menerima sebarang permohonan berhubung pembinaan kilang berkenaan.

"Apa yang PCM persoalkan, bagaimana kerajaan negeri Pulau Pinang boleh meluluskan pembinaannya sedangkan lesen atau kebenaran daripada AELB belum pun dipohon?," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Portal berita berkenaan turut melaporkan Raja Abdul Aziz berkata, projek itu akan dinilai dan diluluskan oleh pihaknya walaupun Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) memberi kelulusan.

Katanya, jika kilang itu tidak mendapat kelulusan dari AELB, mereka tidak boleh beroperasi kerana kilang panel solar akan menghasilkan bahan radioaktif dan pihaknya perlu menilai tahap radioaktif yang dihasilkan.— BERNAMA

Comments

Popular Posts