LUKA HATI SEORANG IBU: MAYAT RENTUNG DISAHKAN ANAK YANG HILANG

Hanya esakan dan tangisan kedengaran di rumah kanak-kanak malang Nurul Nadhirah Abdullah atau Dirang sebaik sahaja polis mengesahkan mayat rentung yang ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Pasir Gudang di sini 8 Mac lalu adalah kanak-kanak itu.

Tiada kata yang mampu diucapkan oleh anggota keluarga mahupun jiran untuk menenangkan ibu Dirang, Roselyn Alan, 25 yang terkejut dan menangis tidak berhenti sejak menerima maklumat berhubung perkara itu.

Roselyn juga pengsan seketika selepas menangis lebih sejam sebaik dihubungi oleh pihak polis melalui telefon kira-kira 6.40 petang tadi bagi mengesahkan perkara itu setelah menerima hasil ujian DNA daripada Jabatan Kimia Isnin.

Tinjauan Bernama di rumah mangsa di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam dekat sini mendapati, suasana hiba menyelubungi rumah mangsa yang dipenuhi oleh kaum keluarga, jiran dan wakil media yang ingin mengetahui perkembangan lanjut tentang kes itu.

Esakan dan tangisan Roselyn yang berada dalam sebuah daripada bilik di rumah itu jelas kedengaran di ruang tamu menyebabkan mereka yang berkunjung di rumah itu tidak dapat menahan daripada turut menitiskan air mata mengenangkan nasib yang menimpa mangsa. - BERNAMA

Comments

Popular Posts