TPPA BOLEH MENYEBABKAN NEGARA TERJERUMUS KRISIS EKONOMI : TUN DR M

Tun Dr Mahathir menegaskan beliau membantah Perjanjian  Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kerana ia boleh menyebabkan negara sekali lagi terjerumus dalam krisis ekonomi Asia seperti pada 1997 dan 1998.

Menurutnya, jika kerajaan menandatangani TPPA, satu perkara yang membimbangkannya ialah negara akan hilang kawalan mata wang yang secara tidak langsung membuka ruang terhadap perdagangan mata wang.

"Bila berlaku perdagangan mata wang, ia akan menekan mata wang kita dan kita akan jadi miskin. Salah satu sebab saya membantah TPPA ini ialah ia akan menyebabkan krisis mata wang sekali lagi. Sebab itu, saya harap kerajaan tidak setuju dengan TPPA.

"Saya dengar kerajaan sedang mencuba untuk mengurangkan defisit dan kerajaan perlu kaji kenapa ini berlaku. Saya berharap kerajaan tidak membelanjakan terlampau banyak duit yang kita tidak ada, sehingga menyebabkan kita perlu meminjam wang seperti yang berlaku di Greece. Di Greece, mereka terus membelanjakan wang dan pada masa sama terus meminjam wang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan negara di rantau Asia sekali lagi akan berdepan krisis ekonomi pada 1997 dan 1998. - BERNAMA

Comments

Popular Posts