"GRADUAN UNDANG-UNDANG PERLU KUASAI BAHASA INGGERIS": TUN ABDUL HAMID
KUALA LUMPUR: Graduan undang-undang yang tidak menguasai bahasa Inggeris dengan baik agak sukar untuk bersaing dalam pasaran kerja.
Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad berkata dalam bidang perundangan, bahasa Inggeris bukan sahaja dijadikan keutamaan untuk berkhidmat di pejabat guaman yang besar dan ternama tetapi juga di Pejabat Peguam Negara serta institusi kehakiman.
Katanya penggunaan bahasa itu amat penting terutama apabila berdepan dengan kes yang didengar di mahkamah rayuan dan persekutuan kerana hampir 95 peratus melibatkan bahasa Inggeris.
Dalam mengutamakan bahasa tersebut, Abdul Hamid bagaimanapun tidak menolak kepentingan bahasa Melayu dan berkata bahawa mereka yang menguasai kedua-dua bahasa mampu pergi lebih jauh.
"Dalam realiti hari ini, kita tidak patut terlalu taksub dengan penggunaan bahasa Melayu sehingga tidak memperduli apa akibatnya. Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) akan melakukan satu penganiayaan kepada graduan-graduannya jika IPTA hanya menekankan pembelajaran undang-undang dalam bahasa Melayu sahaja.
"Kita sepatutnya berusaha untuk mengeluarkan graduan undang-undang yang penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggerisnya sama baik. Di samping itu, pada pandangan saya, pada masa ini, kita juga mengeluarkan terlalu banyak graduan undang-undang dengan cara yang terlau mudah. Ramai di antara mereka yang tidak dapat bersaing di pasaran," katanya.
Abdul Hamid berkata menerusi pengalamannya selama 40 tahun dalam bidang perundangan, terdapat kumpulan hakim mahkamah tinggi dan sesyen serta pegawai yang ketinggalan dalam bahasa Inggeris dan mereka 'menjadi dilema' yang bukan sahaja kepada diri mereka sendiri tetapi juga kepada Jabatan Peguam Negara, mahkamah dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.
"Apa yang saya kurang faham ialah, kenapa setelah terdedah setiap hari selama 25 tahun, mereka masih juga tidak dapat memperbaiki prestasi mereka. Adakah institut pengajian tinggi meluluskan mereka dengan begitu mudah?
"Bagi pegawai undang-undang dan peguam bukan Melayu pula, peratusan mereka yang dapat menguasai bahasa Inggeris dan Melayu adalah lebih tinggi daripada pegawai dan peguam Melayu tetapi jika mereka tidak dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik, mereka boleh memilih untuk tidak menjadi 'litigation lawyers'," katanya.
Menceritakan pengalamannya dalam bidang kehakiman dan perundangan bermula selepas merdeka hingga 2008, Abdul Hamid berkata pada tahun 90-an, beliau antara hakim yang paling banyak menulis penghakiman dalam bahasa Melayu.
"Di mahkamah rendah, hampir kesemua dijalankan dalam bahasa Melayu. Di mahkamah atasan terutama di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan boleh dikatakan 95 peratus dijalankan dalam bahasa Inggeris.
"Keterangan diberi dalam apa juga bahasa yang hendak digunakan oleh saksi. Ianya diterjemahkan ke bahasa Melayu atau Inggeris. Keterangan bahasa Inggeris dicatat tanpa diterjemah ke bahasa Melayu. Semua Hakim dan peguam dianggapkan (sepatutnya) dapat menguasai kedua-dua bahasa itu dengan baik. Sekarang semua keterangan dirakam dengan rakaman video," katanya.
Tambah Abdul Hamid, penghujahan lisan di mahkamah rendah (Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen) lebih banyak menggunakan bahasa Melayu manakala di mahkamah atasan, hampir semua hujah lisan dijalankan dalam bahasa Inggeris malah dokumen serta penghakiman yang dirujuk adalah dari dalam dan luar negara yang menggunakan bahasa Inggeris.
"Mengenai penulisan alasan penghakiman, di mahkamah-mahkamah rendah, kebanyakan alasan penghakiman ditulis dalam bahasa Melayu. Dalam tahun 90-an, setiap Hakim Mahkamah Tinggi dikehendaki menulis sekurang-kurangnya satu alasan penghakiman dalam bahasa Melayu sebulan.
"Hakim-hakim Melayu dan beberapa orang Hakim bukan Melayu, peringkat lebih muda, tiada masalah melakukannya. Hakim-hakim bukan Melayu yang dilantik daripada kalangan peguam tidak mematuhinya. Pada masa itu, ada beberapa orang di antara kami yang menyahut seruan penggunaan bahasa Melayu, menulis alasan penghakiman yang agak banyak dalam bahasa Melayu.
"Tetapi, saya dapati, jurnal undang-undang kurang berminat untuk melaporkan penghakiman dalam bahasa Melayu. Jika dilaporkan pun, tidak banyak orang yang membacanya. Pada hari ini, kebanyakan hakim-hakim Mahkamah Tinggi yang menulis dalam bahasa Melayu adalah mereka yang kurang selesa menulis dalam bahasa Inggeris.
"Semasa saya di Mahkamah Rayuan pun, saya ada menulis beberapa penghakiman yang penting yang melibatkan percanggahan bidang kuasa mahkamah sivil dan mahkamah syariah, supaya ia juga dapat dibaca oleh hakim-hakim dan pegawai-pegawai mahkamah syariah. Saya tidak tahu sama ada mereka membacanya atau tidak. Tetapi, jika saya hendak menulisnya semula hari ini, saya akan tulis dalam bahasa Inggeris, kerana ia lebih luas dibaca," katanya. - BERNAMA
Comments
Post a Comment