#TANDA PUTERA : DAP HIPOKRIT KONON PERJUANG KEBEBASAN MEDIA DAN KEBEBASAN BERSUARA : HISHAMMUDDIN

KUALA LUMPUR :  Tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang menghalang tayangan filem 'Tanda Putera' di pawagam di negeri itu membuktikan sikap hipokrit parti itu yang kononnya memperjuangkan kebebasan media dan kebebasan bersuara, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau bagaimanapun tidak terkejut dengan tindakan DAP kerana parti itu sememangnya hanya akan memperjuangkan sesuatu perkara apabila ia berkaitan dengan kepentingan mereka.
"Namun, apabila ia sedikit sebanyak menyentuh sikap mereka maka inilah tindakan yang diambil. DAP ternyata melihat penayangan filem itu dari sudut perkauman," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau mengulas tindakan kerajaan Pulau Pinang mengharamkan tayangan filem itu atas arahan Ketua Menterinya Lim Guan Eng biarpun seluruh Negara memulakan tayangan filem itu di pawagam-pawagam Khamis.

Hishammuddin, yang juga Naib Presiden Umno, mempersoalkan adakah Penasihat DAP Lim Kit Siang, Lim Guan Eng serta pemimpin DAP lain sudah menonton filem tersebut sebelum membuat keputusan.

"Kenapakah sebelum ini ada filem yang dilihat menghina orang Melayu tidak dipertikaikan oleh kerajaan Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata apabila DAP menganggap filem itu berunsur perkauman, parti itulah yang sebenarnya bersikap demikian.

Tanda Putera merupakan sebuah filem biografi sejarah arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba berkisarkan mengenai perjuangan Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dan timbalannya pada masa itu Tun Dr Ismail Abdul Rahman bersama-sama menyelesaikan rusuhan kaum pada 1969.

Hishamuddin turut menyifatkan tindakan DAP lebih bermotifkan politik dan cuba menutup sejarah sebenar negara.

Berikutan itu, beliau menyeru semua pihak supaya mengecam tindakan membuta tuli kerajaan DAP yang hanya akan membangkitkan kemarahan rakyat khususnya orang Melayu. - BERNAMA

Comments

Popular Posts