KENYATAAN AKHBAR SEMPENA PEMILIHAN UMNO 2013: ROSNAH
Sempena pemilihan UMNO yang akan berlangsung pada bulan September dan Oktober ini saya dengan rendah hati menawarkan diri bertanding Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia. Keputusan ini telah saya buat beberapa minggu yang lalu setelah mengambil kira beberapa faktor. Saya sedar saya merupakan orang baru dalam Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, maka sebagai orang baru saya ingin bermula dari bawah serta berharap ahli Pergerakan Wanita UMNO Malaysia memberi ruang dan peluang kepada saya untuk berkhidmat kepada Wanita UMNO dan seterusnya meneruskan perjuangan saya di dalam parti.
InsyaAllah dengan pengalaman menyandang jawatan sebagai Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sabah seterusnya Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia dan seterusnya Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yang saya galas dengan juga bermula dari bawah saya yakin saya dapat menyumbang serta memberi khidmat terbaik kepada Pergerakan Wanita UMNO Malaysia secara khususnya dan parti secara amnya.
Keputusan untuk bertanding dalam Pergerakan Wanita UMNO Malaysia ini saya lakukan adalah demi memperkukuhkan saf perjuangan parti serta membantu pucuk pimpinan tertinggi dalam memastikan keutuhan UMNO sebagai sebuah parti membela rakyat.
Saya secara jujurnya menyokong kepimpinan Dato' Seri Shahrizat kerana melihat dibawah kepimpinan beliau,Pergerakan Wanita UMNO Malaysia terus utuh dan cemerlang. Terdapat pelbagai program yang telah dilaksanakan demi mengangkat martabat wanita serta memberi khidmat kebajikan kepada rakyat. Pergerakan Wanita UMNO di bawah kepimpinan beliau juga dilihat sentiasa peka terhadap isu kebajikan rakyat segenap golongan. Atas dasar itu juga saya menawarkan diri untuk bersama-sama dengan saf perjuangan Pergerakan Wanita memberi khidmat kepada parti serta bersama-sama melakukan transformasi yang lebih proaktif bukan sahaja untuk Pergerakan Wanita UMNO itu sendiri tetapi juga UMNO dan Barisan Nasional.
Selain itu juga, sebagai seorang pemimpin dari Pergerakan Puteri UMNO yang menawarkan diri bertanding dalam Pergerakan Wanita UMNO saya melihat ini merupakan proses transisi semulajadi yang positif di dalam parti. Hal ini kerana kesemua ahli Pergerakan Puteri UMNO yang telah mencapai had usianya sebagai Puteri secara automatik keahliannya akan bertukar ke Wanita dan sebahagian besar dari mereka masih mahu menyumbang kepada parti. Maka saya amat berharap proses transisi atau penghijrahan ahli Puteri ke Wanita ini dilihat secara positif. Transisi daripada Puteri ke Wanita perlu dilihat sebagai proses kematangan yang memperkasakan peranan wanita di dalam parti.
Saya yakin dan percaya Pergerakan Wanita sebagai ibu di dalam parti pasti boleh menerima kehadiran anak yang telah dewasa ke dalam Pergerakan Wanita untuk perlahan-perlahan mereka belajar dengan ibu supaya menjadi pejuang parti yang lebih matang. Sebagai seorang anak sebahagian besar ahli Puteri berhijrah ke Wanita, mereka tidak ada niat untuk melawan ibu malah mereka mahu belajar 'resepi perjuangan air tangan ibu', sama-sama meneruskan perjuangan dengan segala perkongsian pengalaman dan pendapat.
Penerimaan transisi ini secara positif pasti mampu menangkis pandangan bahawa Pergerakan Wanita tidak menerima kehadiran ahli Pergerakan Puteri masuk ke dalam Pergerakan Wanita,seterusnya memperkuat saf kepimpinan Pergerakan Wanita itu sendiri.
Sekali lagi, saya dengan rendah diri memohon sokongan untuk bertanding Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia.
Terima Kasih.
Rosnah Hj Abd Rashid Shirlin
Comments
Post a Comment