BIAR RAKYAT SYRIA TENTUKAN NASIB NEGARA MEREKA : TUN DR M

SHAH ALAM : Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata biarlah rakyat Syria menentukan jatuh bangunnya negara mereka dan negara luar tidak perlu campurtangan dalam hal dalaman negara Timur Tengah itu.

"Biarlah rakyat Syria yang tentukan nak sokong kerajaan atau jatuhkan kerajaan mereka...orang luar jangan masuk campur.

"Kerajaan Malaysia bersikap berkecuali sebab kita tidak tahu apa sebenarnya kehendak masyarakat Syria...sebab di Syria ada yang sokong pemerintah dan ada yang sokong pemberontak," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Terdahulu beliau dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali meluangkan masa kira-kira sejam melawat Red Carpet@i-City di i-City di seksyen 7 di sini.

Mengulas lanjut berhubung tindakan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang seolah-olah berdiam diri terhadap isu Syria itu, Dr Mahathir berpendapat negara anggota OIC mempunyai pendirian yang berbeza-beza mengenai isu tersebut.

"Ada ahli-ahli OIC yang mempunyai pendapat yang berbeza, contoh seperti (negara) Arab Saudi dan Qatar yang menyokong pemberontak, manakala yang lainnya ada yang menyokong kerajaan (Syria) dan atas sebab inilah OIC tidak boleh nak berfungsi sebaiknya," katanya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan lebih 1,300 orang terbunuh apabila tentera Syria didakwa melancarkan serangan menggunakan senjata kimia di daerah Ghouta berdekatan Damsyik Rabu lepas, yang turut mencederakan ramai lagi penduduk. - BERNAMA

Comments

Popular Posts