Followers

WAN MUHAMMAD AZRI NAFI DIRINYA BLOGGER PAPAGOMO


Oleh : Aizat Sharif

KUALA LUMPUR :  Blogger, Wan Muhammad Azri Wan Deris menafikan bahawa beliau adalah blogger, Papagomo yang didakwa menyiarkan empat siri perkataan fitnah dalam laman blog Papagomo terhadap Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun lalu.


Dalam sidang perbicaraan saman malu Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap blogger Papagomo di Mahkamah Tinggi, Jalan Duta disini pada hari ini, ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat portal berita itu memberitahu mahkamah bahawa beliau bukanlah blogger Papagomo dan tidak pernah mendaftarkan namanya sebagai pengendali blog tersebut.

Dalam jawapan balasnya terhadap peguam plaintif, beliau menafikan bahawa beliau tahu dengan artikel-artikel dan imej-imej yang diterbit dalam blog tersebut.

"Saya tiada pengetahuan mengenai artikel-artikel dan imej-imej yang dipaparkan dalam blog tersebut. Saya hanya tahu ada kenyataan yang tertulis dalam satu blog dan imej tersebar apabila plaintif (Anwar) menyaman saya," kata Wan Muhammad Azri kepada mahkamah.

Beliau turut menerangkan bahawa beliau hanya mengendalikan blog, 'Malayrights.blogspot.com dan hanya menulis artikel-artikel di blog itu sahaja.

Perbicaraan pada hari ini menyaksikan blogger, 'PerisikRakyat atau Fauzi Mohd Azmi dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dipanggil sebagai saksi untuk memberikan keterangan dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Rosila Yop.  Anwar selaku plaintif diwakili oleh peguam, N.Surendran dan Lateefa Koya manakala Wan Muhammad Azri pula diwakili oleh peguam, Jasbeer Singh Kaura, Parvinder Kaur Singh Sandhu dan S.Vivekananda.

Perbicaraan tersebut turut dihadiri oleh isteri Anwar yang juga Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution, Naib Presiden Tian Chua dan beberapa penyokong mereka.
Malah, penyokong Wan Muhammad Azri juga turut dilihat hadir memberikan sokongan kepada beliau sambil memakai kemeja T berwarna putih tertulis "Keep Calm and Support Japan" sebagai simbolik mereka membantah tindakan penyokong Anwar yang membuat demonstrasi di hadapan Kedutaan Besar Jepun pada minggu lalu berikutan kegagalan Anwar untuk memasuki Jepun.

Anwar telah memfailkan saman fitnah berjumlah RM100 juta terhadap Wan Muhammad Azri, yang juga pemilik laman blog www.papagomo.com pada 21 Mac tahun lalu.

Laman blog tersebut didakwa telah menyiarkan empat siri perkataan fitnah dalam laman web itu bertarikah 16, 17, 19 dan 20 Mac tahun lalu.

Plaintif juga menuntut ganti rugi am, teruk, teladan, faedah, kos, lain-lain relif yang difikirkan wajar.

Selain itu, satu injunksi bagi menghalang defendan daripada terus menerbitkan perkataan fitnah dan imej itu.
Sementara, Wan Muhammad Azri dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 20 Mei tahun lalu telah menafikan bahawa beliau pemilik blog 'Papa Gomo'.

Namun, peguam Latheefa Koya seperti dilapor Keadilandaily pada 8 Mei tahun lalu berkata polis sendiri telah mengesahkan identiti Wan Muhammad Azri Wan Deris sebenarnya adalah Papagomo.
                                                 
Perbicaraan disambung esok pada jam 9.30 pagi..... Astro Awani

No comments:

Post a Comment