INFO: MAHKAMAH TINGGI DENGAR KES 30 INDIVIDU DI PENJARA SABAH

KOTA KINABALU:  Perbicaraan kes 30 individu yang berdepan pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong serta terbabit dalam pelbagai kegiatan keganasan di Sabah awal tahun lepas, bermula di Mahkamah Tinggi hari ini, yang bersidang di Penjara Sabah di sini.

Saksi pertama pendakwaan iaitu bekas Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerak Khas) Bukit Aman Datuk Abdul Rashid Harun memaklumkan beliau menyedari terdapat perbezaan dalam bilangan penceroboh di Kampung Tanduo, Lahad Datu selepas dua kali ke sana.

"Majoriti mereka adalah individu berbeza daripada yang saya lihat sehari sebelum itu. Namun mereka memakai uniform yang sama dengan corak kamoflaj dan bersenjata," katanya.

Beliau berkata jumlah penceroboh bukan sahaja menurun malah terdapat muka baharu berbanding mereka yang dilihatnya dalam lawatan pertama ke kampung itu.

Abdul Rashid, yang kini Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di Lahad Datu, berkata dalam lawatan pertamanya pada 15 Feb, beliau menyamar sebagai seorang anggota polis berpangkat Sarjan Mejar.

Abdul Rashid kemudian membantu membawa bekalan dari kenderaan polis ke dapur sebuah rumah yang diduduki dan selepas melakukan kiraan, beliau mendapati 79 penceroboh berkenaan memiliki bersenjata dan lima daripada mereka adalah wanita serta berpakaian seperti askar. 

Bagaimanapun, dalam lawatan kedua, beliau mendapati jumlah penceroboh ialah 63 orang dan majoriti mereka bukanlah individu yang dilihatnya sebelum itu.

Abdul Rashid berkata pada hari pertama, beliau melihat tiga lelaki memegang senapang M16 manakala seorang lagi meletakkan pistol semi automatik jenis .45 di pinggangnya.

Sehari kemudian, beliau melihat lebih banyak senjata dibawa penceroboh berkenaan seperti raifal Garand, pistol Colt G45, revolver dan karbin serta parang.

"Seorang lelaki meletakkan dua pelancar bom tangan pada kit tali pinggang yang dipakainya di bahagian dada, satu pelancar di sebelah kiri manakala satu lagi di sebelah kanan," katanya.

Abdul Rashid berkata beliau tidak mengambil bahagian dalam rundingan antara ACP Zulkifli Abd Aziz, yang juga Timbalan Ketua Cawangan Khas 1 di Sabah, dan ketua penceroboh berkenaan Datu Agbimuddin Kiram.

Katanya, tujuan beliau menyertai lawatan ke Kampung Tanduo ialah bagi menjalankan risikan untuk mengumpul maklumat berhubung penceroboh termasuk menilai kekuatan serta senjata yang mereka miliki.

Terdahulu, pendakwaan meminda tarikh dalam semua pertuduhan daripada 9 Feb kepada 12 Feb tahun lepas.

Daripada 30 individu yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan berkaitan kegiatan keganasan di Sabah antara 12 Feb dan 10 April, 22 termasuk dua rakyat Malaysia, didakwa menganggotai kumpulan pengganas, dan jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara seumur hidup dan denda.

Mereka turut berdepan pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.  

Seorang daripada mereka turut berdepan dua pertuduhan tambahan iaitu merekrut anggota kumpulan pengganas dan melindungi individu yang diketahui adalah anggota kumpulan pengganas.

Lima individu daripada lapan tertuduh lagi berdepan pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas manakala seorang lagi, iaitu satu-satunya wanita dan merupakan warganegara Malaysia, didakwa melindungi individu yang diketahuinya adalah anggota kumpulan pengganas.

Dua lagi berdepan pertuduhan cuba melindungi individu yang diketahui adalah anggota kumpulan pengganas.

Sejumlah 27 tertuduh merupakan warga Filipina manakala bakinya adalah warga tempatan.

Perbicaraan di depan Hakim Stephen Chung dibantu pasukan pendakwaan tujuh anggota diketuai Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail manakala sejumlah 10 peguam mewakili tertuduh termasuk pasukan pembelaan enam anggota diketuai peguam Datuk N. Sivananthan bagi 28 tertuduh.

Perbicaraan bersambung esok.....

Comments

Popular Posts