KENYATAAN AKHBAR : ISU KABOTAJ DI SABAH YANG DIPOLITIKKAN OLEH DALAM KONVENSYEN POLITIK BAHARU DI SABAH

::Pewaris Anak Bangsa::



KENYATAAN AKHBAR OLEH YB DATUK ROSNAH ABDUL RASHID SHIRLIN, KETUA PERGERAKAN PUTERI UMNO MALAYSIA MENGENAI ISU KABOTAJ DI SABAH YANG DIPOLITIKKAN OLEH DALAM KONVENSYEN POLITIK BARU DI SABAH BERLANGSUNG DI KOTA KINABALU, SABAH

Sekiranya Dasar Kabotaj dimansuhkan secara keseluruhan seperti yang dijanjikan oleh pihak pembangkang, pelbagai masalah ekonomi berkemungkinan besar akan timbul.

Tanpa Dasar Kabotaj, apakah yang akan menghalang syarikat perkapalan asing daripada mengusai perairan kita ataupun membentuk pasaran oligopoly atau sebuah kartel yang akan menetapkan kadar harga perkhidmatan sesuka hati mereka? Saya bersetuju dengan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri bahawa sekiranya perkara sebegini berlaku sudah tentu tidak baik untuk ekonomi dan Negara kita secara keseluruhan.

Dasar Kabotaj yang mengutamakan perkhidmatan perkapalan tempatan sebenarnya bertujuan melindungi syarikat perkapalan tempatan dan secara tidak langsung demi kebajikan rakyat dalam jangka panjang. Dakwaan Pihak Pembangkang bahawa dasar kabotaj memperlahankan dan menyekatkan pertumbuhan ekonomi Sabah adalah tidak betul.

Pihak Pembangkang terlalu yakin dengan adanya penghantaran terus, kos perkapalan dan harga barangan akan menjadi lebih murah kerana tidak melibatkan kos pemindahan kapal dari Pelabuhan Klang akan tetapi adakah benar-benar perkara ini akan berlaku? Pihak Kerajaan sebenarnya tidak pernah menghalang kapal asing untuk terus membuat penghantaran ke Sabah, Sarawak mahupun Labuan seperti yang didakwa oleh pihak pembangkang, akan tetapi kapal-kapal asing ini yang memilih untuk ke Pelabuhan Klang disebabkan faktor ekonomi syarikat ataupun terlalu banyak barang yang dihantar ke destinasi-destinasi yang berbeza.

Kenaikan harga barangan pengguna berpunca dari pelbagai sebab, antaranya dari tindakan mengaut keuntungan berlebihan sesetengah pihak, faktor geografi dalam negeri, jumlah penduduk yang tidak seramai semenanjung, masalah ketidak cekapan perkhidmatan pemunggahan di pelabuhan, kos insurans marin, pengangkutan darat dan harga bunker yang mengikut kadar harga bahan api.

Mengenai janji pihak pembangkang pula untuk membina tol tanpa bayaran yang menghubungkan Kota Kinabalu kepada Tawau dan Sandakan jika dipilih, saya nasihatkan agar Rakyat jangan terpedaya dengan janji kosong pihak pembangkang. Pihak Pembangkang memang gemar memberikan janji kosong seperti yang telah berlaku di Negeri Selangor dimana pihak pembangkang telah berjanji untuk memberikan pendidikan percuma kepada semua murid tadika akan tetapi sehingga ke hari ini janji tersebut belum lagi ditepati.


YB Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin
Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
Ali Parlimen Papar
22hb okt 2012

Comments