KENYATAAN AKBAR: ROSNAH MENYOKONG PENUBUHAN JAWATANKUASA KHAS UMNO

::Pewaris Anak Bangsa::


KENYATAAN AKHBAR YB DATUK ROSNAH ABDUL RASHID SHIRLIN, KETUA PERGERAKAN PUTERI UMNO MALAYSIA MENGENAI ISU PENUBUHAN JAWATANKUASA KHAS UMNO BAGI AHLI YANG MENSABOTAJ PARTI DAN CALON BARISAN NASIONAL

Penubuhan Jawatankuasa Khas bagi menangani ahli yang mensabotaj parti dan calon Barisan Nasional mencerminkan hasrat serta pendirian UMNO yang akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana ahli parti yang merosakkan parti. Jawatankuasa khas yang ditubuhkan ini akan dianggotai beberapa anggota Majlis Tertinggi yang tidak mempunyai kepentingan, anggota Lembaga Disiplin dan anggota Jawatankuasa Pengurusan selaras dengan Fasal 10.15 yang dibaca bersama Fasal 20.3 Perlembagaan Umno.

Ini merupakan satu langkah yang terbaik bagi memantau dan mencegah daripada berlakunya sesuatu kejadian yang bertentangan dengan dasar serta polisi parti terutamanya apabila menjelang pilihan raya yang akan datang nanti. Langkah ini akan mempercepatkan proses mengambil tindakan terhadap ahli yang mensabotaj parti.

Jika dilihat daripada sudut pentadbiran, Jawatankuasa Khas UMNO merupakan lanjutan kepada Lembaga Disiplin serta melengkapkan tugas-tugas dan tanggungjawab Lembaga Disiplin. Penubuhan Jawatankuasa ini bukanlah bertujuan untuk menyangkal ketaatan ahli tetapi untuk mencegah unsur-unsur sabotaj. Walaubagaimanapun, pencegahan terhadap sesuatu yang mungkin berlaku bukanlah bererti ada unsur-unsur sabotaj. UMNO berpendapat bahawa langkah pencegahan adalah lebih baik daripada mengambil langkah pembetulan jika sesuatu berlaku kelak.

Merujuk kepada persoalan samada jawatankuasa ini perlu diwujudkan sedangkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 para perwakilan telah melafazkan ikrar taat setia atau baiah. Dalam hal ini, UMNO tidak mempertikaikan ikrar taat setia atau baiah yang dilafazkan oleh ahli sewaktu Perhimpunan Agung UMNO 2011. Tindakan penubuhan Jawatankuasa Khas ini adalah bertujuan untuk pencegahan dan bukannya mencari kesalahan. UMNO akan sentiasa mengambil langkah-langkah yang terbaik untuk kepentingan ahlinya dan memberi keyakinan kepada rakyat. Ini adalah selaras dengan transformasi UMNO yang relevan di pentas politik tanah air.

YB DATUK ROSNAH ABDUL RASHID SHIRLIN
KETUA PUTERI UMNO MALAYSIA
TIMBALAN MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
AHLI PARLIMEN P.175 PAPAR

Comments