SAPINA PM BRITAIN: PERMOHONAN UTHAYAKUMAR DITOLAK

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan P.Uthayakumar supaya mahkamah mengeluarkan sapina untuk menemu bual bekas Perdana Menteri Britain, Gordon Brown, berhubung perbicaraan kes hasutan yang dihadapinya (Uthayakumar).

Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah membuat keputusan itu atas alasan bahawa Brown tidak mempunyai kaitan dengan kes tersebut.

Katanya, mahkamah tidak nampak mengapa mahkamahnya perlu mengeluarkan sapina bagi membolehkan pemohon menemu bual dan menerima arahan bagi kes pembelaan.

Peguam kepada Uthayakumar, M.Manoharan memberitahu pemberita bahawa pihaknya akan membuat rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

Uthayakumar dikatakan melakukan perbuatan yang cenderung ke arah menghasut dengan menulis sepucuk surat kepada Gordon Brown, yang pada masa itu menjadi Perdana Menteri United Kingdom di alamat 10, Downing Street, London, United Kingdom.

Kesalahan itu dikatakan dilakukannya di No 135-3-A, Jalan Toman 7, Kemayan Square, Seremban, Negeri Sembilan pada 15 November 2007.

Uthayakumar menghadapi satu tuduhan pindaan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948.

Jika didapati bersalah, Uthayakumar boleh didenda maksimum RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama dan kesalahan yang berikutnya boleh dikenakan hukuman penjara maksimum selama lima tahun.

Uthayakumar telah memfailkan satu permohonan pada Julai (tahun ini) di Mahkamah Tinggi supaya mengeluarkan satu sapina kepada bekas Perdana Menteri United Kingdom, Gordon Brown untuk menemu bualnya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Noorin Badaruddin memberitahu mahkamah bahawa kes di Mahkamah Sesyen masih lagi di peringkat pendakwaan dan pihak pendakwa telah memanggil tiga saksi dan akan menutup kes pada 23 Okt 2012. - BERNAMA

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Comments

Popular Posts