POLIS TUNGGU MAKLUMAT INTERPOL BERHUBUNG RAKYAT ASING TERLIBAT PESTA SUKAN BOGEL


GEORGE TOWN:  Polis masih menunggu maklumat daripada Interpol bagi mengesan lapan rakyat asing untuk membantu siasatan berhubung pesta sukan bogel yang didakwa diadakan di Pantai Teluk Kampi dalam kawasan Taman Negara Pulau Pinang.


Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A. Thaiveegan berkata pihaknya berharap dapat memperoleh maklumat peserta yang dikatakan dari Singapura, Myanmar, India dan Filipina itu dalam tempoh terdekat.

"Jika kami sudah dapat maklumat daripada Interpol, kami akan adakan sidang akhbar untuk maklumkan perkembangannya kepada semua," katanya kepada pemberita selepas pelancaran pemasangan pelekat Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini hari ini.

Pesta sukan bogel itu mula diperkatakan apabila video berdurasi lima minit 52 saat bertajuk 'Pesta Bogel di Teluk Bahang, Penang' tersebar secara meluas di laman sosial, yang memaparkan sembilan lelaki dan enam wanita melukis badan dalam keadaan bogel, menari serta mengadakan acara sukan di Pantai Teluk Kampi.

Polis juga telah mengenal pasti kesemua 15 peserta pesta berkenaan iaitu tujuh warga tempatan, empat dari Singapura, dua (Myanmar) dan masing-masing seorang dari India dan Filipina.

Thaiveegan berkata polis percaya keterangan daripada dua wanita masing-masing berusia 34 dan 24 tahun yang ditahan pada Khamis dan Sabtu lepas dapat membantu siasatan kes itu.

Beliau berkata polis telah ke alamat kediaman tujuh individu tempatan yang dipercayai peserta pesta itu dan mendapati ada yang telah berpindah serta bersembunyi di lokasi lain.

"Polis masih cuba mendapatkan maklumat terkini mengenai mereka kerana kebanyakan peserta berkenaan telah berpindah daripada alamat asal, kami perlu sedikit masa lagi untuk kesan mereka," katanya.

Dalam perkembangan lain, Thaiveegan berkata kadar jenayah di Pulau Pinang menurun enam peratus atau 307 kes sepanjang Januari hingga 10 Ogos lepas berbanding tempoh sama tahun lalu.

Penurunan kadar jenayah daripada 5,116 kes kepada 4,809 kes sepanjang tempoh itu menunjukkan perkembangan positif terhadap usaha yang dijalankan kontinjen Polis Pulau Pinang dalam membanteras jenayah terutama berkaitan samun, pecah rumah dan curi, katanya.

Beliau berkata antara faktor penurunan kadar jenayah di Pulau Pinang ialah hasil rondaan URB di lokasi tertentu terutama di 12 kawasan perumahan sekitar negeri ini.

Sumber: BERNAMA

Comments

Popular Posts