INFO: PENAMATAN KHIDMAT EXCO SAH DAN DIPERKENANKAN SULTAN SELANGOR- KHALID


KUALA LUMPUR:  Ekoran penamatan khidmat enam orang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dari parti PKR dan DAP oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam, beberapa pihak telah mempertikaikan kesahihan pemecatan tersebut dari segi undang-undang.

Bagaimanapun, Abdul Khalid hari ini menjelaskan bahawa tindakan itu adalah sah selepas mendapat perkenan dari Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk membatalkan pelantikan ahli-ahli MMKN yang terlibat.

Surat Jawapan DYMM Sultan Selangor Berhubung Penamatan Khidmat 5 EXCO - pic.twitter.com/CXQ9flV2Ac

— Abdul Khalid Ibrahim (@Khalid_Ibrahim) August 13, 2014
Berikut adalah kenyataan penuh Abdul Khalid yang disiarkan hari ini.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana hari ini Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah mengadakan mesyuarat seperti biasa dengan korum yang mencukupi bersama empat Ahli MMKN dan tiga pegawai Ex-Officio.

"Jumlah ini memadai dan sah mengikut Artikel 53 (2) (b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang menetapkan sekurang-kurangnya mempunyai  empat (4) anggota MMKN untuk mentadbir negeri secara sah.

"MMKN juga telah diberitahu tentang perkenan DYMM Sultan Selangor untuk tidak meneruskan perkhidmatan ahli 5 orang pegawai MMKN daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) berkuatkuasa semalam.

"DYMM Sultan Selangor telah berkenan untuk membatalkan pelantikan EXCO-EXCO yang terlibat atas nasihat daripada Dato' Menteri Besar secara bertulis.

"Kita berpendapat bahawa 5 EXCO tersebut tidak boleh diteruskan perkhidmatan mereka setelah mengeluarkan kenyataan bersama untuk tidak mahu mempunyai sebarang hubungan dengan Menteri Besar dan hanya menghadiri mesyuarat MMKN bagi memantau perjalanan Kerajaan Negeri serta hanya akan menurut kehendak parti yang mereka dokongi.

"Kenyataan ini sekaligus bercanggah dengan 10 Aku Janji dan Sumpah Kesetiaan yang telah dilafazkan ketika mengangkat sumpah di hadapan DYMM Tuanku Sultan.

"Saya berharap rakyat Selangor tidak keliru dengan situasi ini kerana penamatan khidmat EXCO-EXCO ini dibuat secara sah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

"Saya berharap rakyat Selangor bertenang kerana pentadbiran Kerajaan Negeri berjalan seperti biasa manakala agenda membela kebajikan untuk rakyat akan diteruskan dan diutamakan." - Astro Awani

Comments

Popular Posts