HINA AGAMA : 60 KETUA BAHAGIAN UMNO JUMPA PEGUAM NEGARA


PUTRAJAYA:  Sebanyak 60 ketua bahagian UMNO dari seluruh negara mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung kes penghinaan terhadap agama dan kaum di laman sosial yang masih belum disiasat atau diambil tindakan.

Kumpulan yang diketuai Timbalan Pengerusi Biro Perlembagaan dan Undang-undang UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu mengadakan pertemuan hampir dua jam setengah, bermula 3 petang Khamis.

Pertemuan itu turut disertai Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar serta Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Datuk Mohamed Shahril Mohamed Tarmizi.

Pada sidang media, Ismail Sabri yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata pertemuan hari ini kerana wujudnya banyak persepsi masyarakat seolah-olah terdapat kes pendakwaan terpilih sehingga menyebabkan banyak yang tertangguh serta tidak selesai.
"Semasa pertemuan ini, kami telah mendapatkan penjelasan dan kesimpulan yang kami dapat ialah terdapatnya kelompongan dari segi undang-undang, ada  undang-undang yang lemah dan perlu dipinda," katanya.

Ismail Sabri berkata semasa pertemuan itu juga pihaknya bersetuju dengan peguam negara bahawa terdapat beberapa undang-undang perlu ditambah baik seperti Akta Hasutan.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihak peguam negara juga bersetuju untuk mempercepatkan kes-kes yang tertangguh dan perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

Katanya kes-kes penghinaan perlu dipercepat bagi mengelakkan wujudnya ketegangan kaum dan keadaan huru-hara.- BERNAMA

Comments

Popular Posts