PENDIRIAN PAS JADIKAN KEDUDUKAN ABDUL KHALID SEMAKIN SUKAR - PENGANALISIS


KUALA LUMPUR:
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berada dalam keadaan tertekan dan tersepit dalam kemelut politik Selangor selepas PAS semalam menarik balik sokongan terhadapnya untuk terus memegang jawatan Menteri Besar Selangor.

Keputusan PAS menamakan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya Mohamad Azmin Ali sebagai calon menteri besar yang baharu telah memberi isyarat jelas kepada kedudukan bekas tokoh korporat berusia 67 tahun itu.

Bagaimanapun, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) dalam mesyuarat berasingan selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat memutuskan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal bagi menggantikan Abdul Khalid.

Penganalisis politik Dr Chandra Muzaffar berpendapat perkembangan terbaru itu meletakkan Abdul Khalid dalam situasi sukar untuk mengekalkan jawatannya.

Beliau berkata Abdul Khalid kini mempunyai dua pilihan iaitu membuat saranan kepada Sultan Selangor untuk menentukan siapa sebenarnya disokong oleh semua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.

"Beliau kena pastikan adalah benar Dr Wan Azizah mendapat sokongan majoriti ADUN Selangor untuk menjadi menteri besar," katanya ketika dihubungi Bernama berkaitan perkembangan terbaru kemelut politik di negeri itu.

Menurutnya, pilihan kedua bagi Abdul Khalid pula adalah mengusulkan kepada sultan untuk membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya semula di negeri itu.

Abdul Khalid, yang menyandang jawatan menteri besar atas perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas dipecat daripada PKR pada 9 Ogos lepas, mendakwa beliau mendapat sokongan majoriti ADUN Selangor untuk menerajui kerajaan negeri.

Pada masa ini, PAS dan DAP masing-masing memiliki 15 kerusi DUN dengan PKR 13, Barisan Nasional (BN) 12 dan Abdul Khalid sebagai wakil rakyat bebas.

Mengenai tindakan PAS menamakan Dr Wan Azizah dan Azmin sebagai calon menteri besar, Chandra berkata ia merupakan taktik bagi menyatakan pakatan pembangkang masih relevan dan mantap.

"Mungkin mereka (PAS) ingin menjaga hubungan baik dengan PKR dan DAP dalam pakatan," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Dr Kamarul Zaman Yusoff berpendapat dari segi perundangan, Abdul Khalid masih sah memegang jawatan menteri besar sehingga undi tidak percaya diusulkan pada persidangan DUN.

"Bagaimanapun, semuanya tertakluk kepada perkenan dan keputusan Sultan Selangor berhubung perkara ini," katanya. - BERNAMA

Ps: bubarkan je DUN Selangor beri ruang untuk adakan Pilihanraya Umum Negeri.

Comments

Popular Posts