Followers

SULTAN NASIHAT ABDUL KHALID TIDAK BERIKAN KENYATAAN BERHUBUNG MB SEHINGGA 27 OGOS


KUALA LUMPUR:  Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kedudukan menteri besar sehingga 27 Ogos ini.


"Saya telah berkomunikasi dengan DYMM Sultan Selangor berhubung perkembangan terbaharu politik di negeri ini termasuk sentimen di kalangan Ahli-ahli Dewan Negeri Selangor.

"DYMM Tuanku Sultan telah menitahkan yang  baginda berpuashati bahawa saya  mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan pada ketika saya menyembah taklimat pada Isnin, 11 Ogos 2014," kata Abdul Khalid dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Katanya lagi,  DYMM Tuanku Sultan juga  telah menitahkan supaya beliau tidak membuat sebarang keputusan atau pengumuman berkenaan jawatan Menteri Besar sehingga baginda kembali pada 27 Ogos untuk beliau menghadap sultan.

Justeru Abdul Khalid juga menasihatkan kepada pihak-pihak yang berkenaan yang mendakwa beliau telah mengelirukan DYMM Tuanku Sultan supaya menulis terus kepada baginda untuk mendapatkan penjelasan.

Sebelum ini, 30 orang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat di Selangor menyatakan sokongan kepada Adun Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar yang baharu.

Abdul Khalid dalam satu kenyataan di Facebook berkata, beliau maklum tentang pengumuman Wan Azizah yang mendakwa ADUN Kajang itu telah mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Negeri Selangor.

Tambah Abdul Khalid, sehingga proses undi tidak percaya di Dewan Negeri Selangor belum lagi diadakan, pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor akan berjalan seperti biasa.

Pada 9 Ogos, Abdul Khalid dipecat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai ahli seumur hidup berkuatkuasa serta merta. - ASTRO AWANI

No comments:

Post a Comment