JANGAN ANGGAP KESILAPAN PENGIRAAN UNDI CEC DAP SEBAGAI KECIO -MUHYIDDIN
TANJUNG MALIM, 5 Jan — Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kesilapan pengiraan undi ketika pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP bulan lepas tidak harus dianggap kecil kerana ia melibatkan soal integriti sebuah parti yang mendakwa mereka telus dan adil.
Timbalan Perdana Menteri berkata Lim Guan Eng selaku Setiausaha Agung DAP perlu memperjelaskan apakah tindakan meminda keputusan itu, sekali gus mengembalikan wakil Melayu dalam CEC itu, disebabkan agenda tertentu dalam kalangan pemimpin parti itu.
"Walaupun ini mungkin perkara kecil tapi implikasinya amat besar, banyak orang boleh mempertikaiakn integriti, kewibawaan serta ketelusan yang diperjuangkan DAP di mana Guan Eng kena jawab dan jelaskan.
"Mungkin ada agenda lain dalam DAP…mungkin, saya tak mahu nak tuduh tapi dalam banyak calon Melayu yang bertanding ini pula yang menang," katanya merujuk kepada Zairil Khir Johari yang pada mulanya berada pada kedudukan 39, kini menduduki kedudukan 20, sekali gus terpilih sebagai anggota CEC.
Bercakap pada sidang media selepas menghadiri majlis makan tengahari bersama tenaga kerja Proton di Proton City di sini, hari ini, Muhyiddin berkata pindaan dan kiraan semula undi selepas sekian lama pemilihan berlalu adalah sesuatu yang aneh dan luar biasa, seolah-olah ada pihak yang mengarahkan ia dilakukan.
Beliau berkata senario terkini dalam DAP itu membuatkan ramai pihak tertawa sambil mempersoalkan bagaimana tindakan DAP yang pernah mempertikaikan ketelusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai tidak telus kini terkena diri sendiri.
"Kini banyak yang orang persoalkan adalah adakah sistem pemilihan DAP itu telus dan adil, kalau yang satu itu boleh begitu, mungkinkah orang tidak pertikaikan semua 20 orang yang terpilih juga mungkin dengan sebab-sebab yang lain dan kerana itu ada pihak mengatakan pemilihan perlu diadakan semula.
"Saya bukan ahli DAP, saya tidak ada hak tetapi saya melihat bahawa kalau kita fikir DAP parti yang benar-benar adil dan telus, apa yang berlaku kini adalah gambaran sebenarnya parti itu," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata rakyat kini boleh menilai ketelusan DAP memperjuangkan integriti kerana jika perkara serupa dilakukan Umno, sudah tentu ia akan dijaja ke serata dunia.
Berbanding DAP, Umno sama sekali tidak akan melakukan pengiraan semula undi jika keputusan telah diumumkan dan penjumlahan semula undi hanya boleh berlaku pada hari pengiraan undi, sama seperti mana proses yang diamalkan dalam sebuah pilihan raya, katanya.
Semalam, sebuahakhbar berbahasa Inggeris melaporkan DAP mengakui berlaku kesilapan dalam pengiraan undi semasa pemilihan jawatan CEC yang diumum 15 Dis lepas, dan menerusi keputusan yang dipinda itu, Zairil yang pada mulanya berada pada kedudukan 39, kini menduduki kedudukan 20.
Vincent Wu, yang pada mulanya mendapat tempat keenam dengan 1,202 undi, jatuh ke tempat ke-26 kerana parti itu mendakwa beliau sebenarnya hanya meraih 669 undi.
Berhubung peluang BN untuk terus memerintah Perak, Muhyiddin berkata beliau yakin kerajaan sedia ada akan terus kekal disokong berdasarkan status terkini sokongan rakyat yang bertambah baik.
Sambil meminta semua wakil rakyat BN dan seluruh jentera parti memberi tumpuan pada kawasan tertentu yang dikuasai pembangkang yang berpotensi untuk menang, Timbalan Presiden Umno itu juga mahu sokongan di kawasan yang dimenangi terus ditingkatkan untuk kelangsungan pemerintahan BN di negeri itu.
Beliau juga mengarahkan pegawai kerajaan negeri dan ahli perniagaan yang terlibat di dalam parti supaya memberikan 70 peratus daripada aktiviti harian mereka kepada memastikan sokongan kepada parti terus meningkat.
Muhyiddin berkata segala isu tempatan yang melibatkan percanggahan kepentingan sesama komponen parti perlu diselesaikan segera dan terus mewujudkan hubungan lebih kukuh sesama mereka.
"Saya tetapkan ia mesti lebih mantap dan jangan timbulkan masalah dengan membuat isu-isu baharu kerana kita tahu cabaran kali ini lebih besar, kita tidak boleh ambil mudah tentang situasi yang sebenar yang berlaku di bawah," katanya mengulas perjumpaan tertutup beliau bersama pemimpin komponen BN negeri yang berlangsung sebelum itu.
Mesyuarat tertutup kira-kira dua jam di Kompleks Sukan Proton City itu dihadiri Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Pengerusi BN negeri Datuk Seri Zambry Abd Kadir, timbalannya Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Timbalan Pengerusi MCA Perak Datuk Seri Kong Cho Ha, Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel, Pengerusi Gerakan Negeri Datuk Seri Chang Ko Youn dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Seri M. Kayveas.
Sumber: UMNO online
Comments
Post a Comment