LELAKI MAUT DITIKAM ADIK IPAR

Melaka Tengah: Seorang lelaki maut selepas cedera parah ditikam adik ipar di kediaman ibu mangsa di Kampung Serkam Pantai, di sini, kelmarin.

Rashid Ahmad, 46, sebelum itu dikatakan bertengkar serta bergelut dengan adik iparnya yang berusia 41 tahun, yang juga pemandu di sebuah kementerian di Putrajaya, dalam kejadian jam 7 malam. Ketika pergaduhan, suspek kemudian menikam mangsa dengan pisau, menyebabkan lelaki terbabit parah.
Rashid meninggal dunia di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Melaka jam 1.40 pagi semalam akibat cedera teruk di pinggang kiri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah, berkata kejadian itu dipercayai berlaku selepas mangsa menegur perbuatan suspek yang sering memukul isterinya berusia 36 tahun.

"Teguran itu menyebabkan suspek tidak berpuas hati dan berang sehingga mencetuskan pertengkaran yang membawa kepada pergelutan.

"Suspek dikatakan mengeluarkan pisau yang ada padanya dan cuba menikam abang iparnya sebelum terkena di bahagian pinggang kiri mangsa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Beruang, di sini, semalam.
Raja Shahrom berkata mangsa dikejarkan ke hospital jam 7.30 malam sebelum disahkan meninggal dunia pada 1.40 pagi.


Suspek diburu polis

Katanya, polis sedang mengesan lelaki terbabit yang melarikan diri dengan kereta PROTON Iswara hitam dengan nombor pendaftaran NCB 3205 bagi membantu siasatan.

Isteri mangsa, Siti Hawa Ibrahim, 44, berkata ketika kejadian, dia berada di dalam rumah dan meluru keluar selepas mendengar jeritan suaminya.

"Saya melihat suami terbaring mengerang kesakitan di bawah pokok manakala adik iparnya pula memegang pisau. Saya berlari mendapatkan arwah dan dalam keadaan lemah dia sempat memohon maaf.

"Panik dengan kejadian itu, adik ipar suami menghantar arwah dan saya ke hospital sebelum meninggalkan kami di situ," katanya ketika ditemui di rumah ibu mentuanya, Timah Mohamad, 74, di sini, semalam.

Abang mangsa, Izhar, 50, yang mengalami masalah lemah tangan akibat serangan angin ahmar berkata dia cuba meleraikan pergaduhan antara kedua-duanya tetapi tidak berjaya malah turut mengalami kecederaan di kaki.
Sumber: berita harian

p/s: dunia oh dunia. Semakin masa berlalu, semakin banyak manusia mengalami masalah mental.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Comments

Popular Posts