INFO: CATUAN AIR WAJAR BAGI KAWAL PENGGUNAAN NEKALAN AIR

KUALA LUMPUR:  Catuan bekalan air wajar dilaksanakan bagi mengawal penggunaan sumber air mentah terutama ketika tahap takungan air di empangan berada pada paras kritikal seperti dihadapi beberapa negeri sekarang.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia S. Piarapakaran berkata jika catuan air tidak dilaksanakan, dikhuatiri sumber air mentah di empangan akan habis dengan cepat, manakala loji perawatan air tidak dapat menghasilkan air terawat untuk pengguna.

"Terdapat beberapa faktor menyumbang kepada pelaksanaan catuan air termasuk musim panas berpanjangan, hujan tidak turun di kawasan tadahan, kekurangan kawasan tadahan air yang sekali gus diwartakan sebagai kawasan simpanan tetap," katanya kepada Bernama, Selasa.

Kerajaan negeri Selangor akan melaksanakan program catuan air secara bergilir bagi menyeimbangkan penyaluran air di kawasan yang mengalami gangguan bekalan sejak 7 Feb lepas.

Tidak hanya di Selangor, Johor khususnya di daerah Kluang turut melakukan catuan air, selain berkemungkinan besar sebahagian kawasan Tampin dan Rembau di Negeri Sembilan, memandangkan paras air Empangan Gemencheh, Tampin kini cuma mampu bertahan dalam tempoh tertentu sahaja.

Piarapakaran berkata peningkatan permintaan bekalan air terawat di kawasan mempunyai kepadatan penduduk tinggi terutama di bandar dan sub-bandar juga menjadi antara faktor penyumbang memandangkan kawasan itu menjadi tumpuan pembangunan.

Ditanya adakah catuan air memberi kesan kepada industri, katanya: "Operasi industri yang banyak bergantung kepada sumber air terawat akan terganggu, dan tidak mustahil juga memberi kesan negatif kepada proses membawa pelabur ke Malaysia."

Presiden Pengamatan Air Pulau Pinang Prof Dr Chan Ngai Weng berkata tidak ada pilihan selain catuan air, lebih-lebih lagi dalam keadaan krisis air mendesak di beberapa negeri ketika ini yang memungkinkan pendekatan itu dilakukan.

Menyifatkan catuan air sebagai langkah berkesan bagi mendidik pengguna menghargai keperluan penjimatan air, Chan berkata ia juga sekali gus dapat meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap krisis air.

Pensyarah Seksyen Geografi, Universiti Sains Malaysia itu berkata kempen jimat air perlu dilakukan dengan efisien dan berterusan, selain menggunakan loji mobil kecil bagi memproses air bersih di kawasan tasik atau kolam air sebagai alternatif tambahan menghadapi krisis ini.

Bagi Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia Foon Weng Lian pula, catuan air adalah perlu bagi memberi bekalan air kepada pengguna secara berterusan tanpa menunggu perkhidmatan tangki air datang ke kawasan mereka.

"Catuan air memang wajar, dan ia dapat mengurangkan tekanan kekurangan bekalan air daripada menjadi lebih teruk...Jika tiada catuan, dikhuatiri kawasan yang ada air tidak memikirkan kawasan terjejas kerana menggunakan air tanpa berhemah," katanya.

Pandangan sama turut diberikan Eksekutif Kanan Forum Air Malaysia Nuraini Khalil yang berkata pendekatan itu memberi peluang kepada pengguna merancang penggunaan dan penyimpanan air kerana pengagihan bekalan akan dilakukan secara berjadual.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pergerakan Wanita Umno Datuk Rosni Zahari dalam kenyataan berkata akibat kejadian catuan air yang dialami negeri Selangor pada 1997, kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan memutuskan untuk membina empangan baharu bagi memenuhi keperluan bekalan air di Selangor ketika itu dan sekiranya projek itu dilaksanakan, masalah catuan air tidak akan timbul di
Selangor.

"Bagaimanapun, selepas pembangkang mengambil alih pentadbiran negeri Selangor, projek itu ditangguhkan berikutan mereka degil dan angkuh serta hanya menjaga kepentingan politik mereka berbanding kepentingan rakyat," katanya.

Timbalan Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri dalam kenyataan menasihatkan kerajaan negeri Selangor agar tidak mencatu air sesuka hati.

"Ikutlah peraturan yang ditetapkan. Jika catuan air merupakan satu-satunya jalan penyelesaian, ia perlu dimaklumkan lebih awal dan diharap tidak mengganggu operasi institusi penting seperti hospital, rumah ibadah, sekolah, pili bomba dan lain-lain," katanya.- BERNAMA

Comments

  1. Harap mereka yang terlibat dalam kejadian catuan air 2014 ini dapat bersabar, dan moga pihak yang berkenaan dapat ambil tindakan yang segera untuk mengatasi masalah ini.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts