SPR DICADANGKAN DENDA ADUN, AHLI PARLIMEN LETAK JAWATAN TANPA ALASAN KUKUH HINGGA RM200K
PUTRAJAYA: Pergerakan Pemuda Gerakan sekali lagi menyarankan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana wakil rakyat atau anggota parlimen yang meletak jawatan tanpa alasan kukuh dan mengakibatkan pilihan raya kecil terpaksa diadakan.
Menyifatkan tindakan itu sebagai pembaziran, ketua pergerakan itu Tan Keng Liang mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminda peraturan sedia ada bagi membolehkan denda RM100,000 dikenakan terhadap anggota Dewan Undangan Negeri dan RM200,000 kepada anggota parlimen yang sengaja berbuat demikian.
"Kedua, parti yang diwakili wakil rakyat itu hendaklah tidak dibenarkan bertanding bagi tempoh lima tahun. Undang-undang sedia ada hanya melarang individu berkenaan tidak bertanding bagi tempoh dua tahun," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada SPR, di sini hari ini.
Pada 2009, pergerakan itu mengemukakan cadangan yang sama kepada SPR, tetapi kadar dendanya RM50,000 bagi DUN dan RM100,000 bagi anggota parlimen yang memanipulasikan sistem demokrasi demi kepentingan sendiri dan parti politik.
Tan mendakwa setiap pilihan raya kecil (PRK) mengakibatkan perbelanjaan sebanyak RM2 juta, yang boleh digunakan bagi kepentingan rakyat.
Pada 2008, kata Tan, Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sengaja mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.
Pada tahun berikutnya (2009), Adun Penanti Mohammad Fairus Khairuddin yang ketika itu merupakan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang dan Exco kerajaan negeri meletak jawatan tanpa alasan kukuh dan terbaru di Kajang apabila penyandangnya, Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi berkenaan.
"Dalam lima tahun ini tiga PRK (selepas kerusi sengaja dikosongkan). Semua ini tidak wajar. Kalau satu PRK mengakibatkan kerugian anggaran RM2 juta, tiga PRK ini merugikan RM6 juta.
"Kalau meninggal dunia, sakit, bankrap, tidak dapat menjalankan tugas atau apa-apa keadaan yang kukuh kita boleh terima. Tetapi ini bukan alasan yang kukuh. Kalau tak pasti nak jadi wakil rakyat, jangan jadi wakil rakyat," tegasnya.
Menurutnya, sudah tiba masa bagi SPR membuat pindaan sewajarnya demi menegakkan sistem demokrasi dan memastikan tiada pihak yang mencari kesempatan. - BERNAMA
Comments
Post a Comment