Followers

INFO: MAHKAMAH TINGGI KEKAL HUKUMAM PENJARA P. UTHAYAKUMAR


KUALA LUMPUR:  Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengekalkan hukuman penjara dua tahun enam bulan terhadap peguam P.Uthayakumar oleh Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menulis sepucuk surat berbaur hasutan kepada bekas Perdana Menteri Britain Gordon Brown, tujuh tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin berkata setelah meneliti rekod rayuan, beliau mendapati mahkamah rendah telah pun membuat keputusan yang betul dan tepat terhadap perayu.

Uthayakumar didakwa menulis sepucuk surat berbaur hasutan yang dialamatkan kepada Gordon Brown, yang ketika itu merupakan perdana menteri Britain, di 10 Downing Street, London, United Kingdom.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Toman 7, Kemayan Square, Seremban, Negeri Sembilan pada 15 Nov 2007 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin.

Uthayakumar, yang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak Jun tahun lepas, kemudian meminta kebenaran mahkamah untuk berjumpa anggota keluarganya sebelum dibawa pulang ke penjara.

Hakim Mohd Azman membenarkan permintaan Uthayakumar yang kelihatan ceria sepanjang prosedur mahkamah hari ini.

Uthayakumar, yang diwakili peguam M. Manoharan, memberitahu pemberita bahawa pihaknya akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan selepas mendapat penghakiman bertulis daripada mahkamah mengenai keputusan hari ini.

Di mahkamah sama hari ini, Hakim Mohd Azman menolak permohonan Naib Presiden PKR Tian Chua dan dua lagi aktivis pembangkang untuk membatalkan pertuduhan berhubung kesalahan memberi ucapan berbaur hasutan dalam satu ceramah pada 13 Mei tahun lepas.

Beliau menolak permohonan Tian Chua, Adam Adli Abd Halim dan Hishamuddin Md Rais kerana mendapati permohonan itu pramatang dan tidak bermerit.

"Mahkamah mendapati fakta kes adalah sama dengan permohonan yang difailkan Tian Chua di Mahkamah Rayuan berhubung isu Lahad Datu.

"Oleh itu, mahkamah berpendapat permohonan ini pramatang dan tidak bermerit pada peringkat ini. Permohonan pemohon ditolak dan dikembalikan kepada Mahkamah Sesyen," katanya.

Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 51, Adam Adli, 25, dan Hishamuddin, 62, didakwa memberi ucapan dalam ceramah dengan menyebut kata-kata menghasut bagi membangkitkan rakyat negara ini supaya mengubah kerajaan yang telah tertubuh mengikut undang-undang, dengan cara yang tidak sah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di  Jalan Maharajalela, Dang Wangi di sini antara 8.55 malam dan 11.15 malam pada 13 Mei tahun lepas.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Lathefa Koya dan N.Surendran.

Sementara itu, Tian Chua yang ditemui di luar mahkamah memberitahu beliau akan memfailkan rayuan berhubung keputusan itu dalam minggu ini. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment