MOU AIR SELANGOR TIDAK BOLEH DIPINDA SEKALIPUN ANWAR JADI MENTERI BESAR : MUHYIDDIN
HULU LANGAT: Memorandum Persefahaman (MoU) penstrukturan semula bekalan air di Selangor tidak boleh diubah sekalipun kepimpinan Selangor bertukar.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perkara berkenaan dinyatakan secara jelas dalam MoU yang ditandatangani Rabu lepas.
Penetapan berkenaan membolehkan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 diteruskan hingga siap mengikut jadual ditetapkan.
“Kita harap dalam tempoh mungkin 2 tahun setengah lagi atau seberapa cepat yang mungkin, sumber air baru yang datang dari Pahang ini akan mengalir ke Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur,” katanya selepas melakukan lawatan mesra di Sungai Chua, Kajang.
Beliau berkata demikian selepas ditanya adakah Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh menghentikan Projek Langat 2 sekiranya beliau menang Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, seterusnya mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor.
Tambah Muhyiddin lagi, perjanjian tetap itu dipersetujui sendiri oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan menyedari kemungkian perjanjian itu mungkin diubah atau dihentikan sekiranya kepimpinan negeri Selangor bertukar.
“Khalid (Tan Sri Abdul Khalid) ini walaupun nampak seperti tidak bijak politik tetapi dia tahu agak pakar, dia tahu apa muslihat Anwar,” katanya
Selasa lalu, Menteri Tenaga Teknologi Hijau Dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masing-masing mewakili kerajaan pusat dan negeri menandatangani MoU itu di Putrajaya.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata Anwar dilihat tidak ikhlas membantu menyelesaikan masalah rakyat kerana tidak mengetahui mengenai perjanjian MoU itu sedangkan dia merupakan Penasihat Ekonomi Selangor.
“Anwar tidak tahu menunjukkan beliau tidak memberikan nasihat dan hanya mahu 'nama' dan langsung tidak memberi perhatian (masalah air Selangor).
"Dia (Anwar) sebagai penasihat ekonomi patut ambil langkah menyelesaikan masalah air, dalam soal begini nyata beliau tak ada sumbangan," katanya lagi.
Sementara itu Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata tindakan kerajaan negeri Selangor menandatangani MoU itu dilihat mematikan langkah Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempolitikkan isu air di Selangor.
"Sekarang kita dapat lihat negeri Selangor pun menghadapi kekurangan air dan tidak sepatutnya dia nak teruskan mainkan politik isu air” katanya.
Jelasnya isu air merupakan sesuatu yang penting dan memerlukan kerjasama semua pihak untuk menyelesaikannya. - Astro Awani
Comments
Post a Comment