Followers

SILIBUS PENDIDIKAN AGAMA PERLU DISEMAK SEMULA, SARAN TUN M


JOHOR BAHARU:  Kerajaan disaran menyemak semula silibus pendidikan agama di sekolah-sekolah bagi memastikan pengajarannya tidak tertumpu kepada ibadah semata-mata tetapi turut diisi dengan nilai-nilai Islam yang baik, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri berkata ini bagi memastikan setiap pelajar disemai dengan nilai-nilai berkenaan terutamanya konsep institusi kekeluargaan Islam yang sebenar bagi menghadapi cabaran masa kini.

"Silibus (pendidikan) agama perlu disemak semula sebab tekanan kepada nilai-nilai hidup Islam tidak disemai dengan baik kerana apabila mereka ke luar negara atau menyambung pelajaran di sana, mereka terpengaruh dengan cara (kehidupan) orang barat.

"Jika iman tidak kuat, dia mudah terpengaruh. Malah, dia soal kita kenapa tidak boleh mengamalkan kebebasan dan sebagainya. Ini yang menjadi masalah kepada kita...kita tidak boleh hidup sebagai orang Islam," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Kekeluargaan dari Perspektif Global di sini Khamis.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata keruntuhan sebilangan institusi keluarga Islam kebelakangan ini akibat kurangnya penerapan nilai-nilai hidup Islam.

Beliau berkata kesibukan ibu bapa bekerja dan pengaruh rakan sebaya juga menyebabkan anak-anak muda mudah terpengaruh dengan unsur kebaratan yang tidak baik dan boleh memusnahkan institusi keluarga Islam.
Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata penerapan nilai-nilai hidup Islam dalam pembelajaran agama di sekolah perlu diperkuatkan lagi bagi mencegah penularan budaya barat yang tidak sihat ini.

"Kokurikulum sekarang tidak menumpukan perhatian kepada pembentukan peribadi yang berdasarkan nilai-nilai hidup Islam. Pembelajaran agama tidak perlu hanya tertumpu kepada ibadah tetapi juga nilai-nilai hidup Islam," kata beliau.

Dr Mahathir berkata memang tidak dapat dielakkan, sebahagian daripada tanggungjawab membentuk peribadi Islam perlu diserahkan kepada sekolah dan guru agama.

Bagaimanapun, katanya, guru terlibat perlu dilengkapi buku dan diberikan kursus yang sesuai.

Selain itu, rakyat tidak boleh mengharapkan pemerintah semata-mata untuk menjaga institusi keluarga, sebaliknya sekatan moral, disiplin diri dan kawalan nafsu juga perlu dilaksanakan, kata beliau. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment