Followers

INFO: KPDNKK RAMPAS TELEFON BIMBIT SAMSUNG TIRUAN DALAM OPS SAMSUNG

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR:  Pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah telah berjaya merampas telefon bimbit pelbagai model dan aksesori yang disyaki tiruan menggunakan jenama Samsung.

Ekoran itu, beberapa premis yang dipercayai melakukan kegiatan haram tersebut diserbu penguatkuasa bersama wakil Samsung dari Kuala Lumpur.

Pagi semalam, satu serbuan yang dinamakan Ops Samsung telah menyerbu empat premis dipercayai menjual telefon bimbit dan pelbagai aksesori tiruan.

Serbuan itu dilakukan kira-kira jam 11 pagi tadi di sebuah kompleks beli belah di Jalan Putra, Alor Setar, Kedah.

Ekoran daripada serbuan itu, pihak KPDNKK Kedah berjaya merampas 4 unit telefon bimbit pelbagai model dari jenama terkenal itu dan aksesorinya yang dianggarkan bernilai lebih dari RM 25,000.

Telefon bimbit tiruan yang dipercayai diimport dari negara China itu dikatakan dijual antara harga 50 ringgit sehingga 400 ringgit seunit berbanding harga bagi telefon bimbit original ialah lapan ratus hingga dua ribu lebih seunit.

Timbalan Pengarah KPDNKK Kedah, Khalid Tik berkata, kesemua telefon bimbit yang menggunakan jenama asli itu adalah tiruan malah ianya turut dijual dengan harga diskaun yang hebat.

Menurut Khalid, hasil siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai beribu pejabat di Kuala Lumpur, Ipoh mahupun George Town malah menggunakan jenama Samsung bagi mengaburi pandangan awam.

“Modus operandi dia akan apabila pengguna datang membeli dia akan mengatakan bahawa barang ni adalah barang original keluaran Samsung, walhal sebenarnya bukan la Samsung punya tetapi itu adalah barangan ini yang diimport dari China," kata Khalid.

Tambah Khalid, produk tiruan itu mempunyai bentuk, warna, dan kualiti yang hampir sama dengan yang asli.

"Dia hanya dia takda sticker security because dia punya sticker original dia daripada Samsung dan jenama syarikat yang diimport tu pun berbeza," katanya lagi.

Sementara itu, wakil Samsung dari Kuala Lumpur, Eow Khean Fatt berkata, serbuan ini dilakukan berikutan hasil aduan daripada pengedar Samsung negeri yang memaklumkan terdapat segelintir peniaga yang menjual barangan samsung tiruan.

Menurut Eow, melalui rampasan ini sekurang-kurangnya ia telah berjaya melumpuhkan satu sindiket menjual telefon bimbit tiruan.

“Apabila berasa teragu ragu sila berhubung dengan pihak Samsung la untuk pastikan sama ada telefon bimbit yang dibeli adalah original atau tiruan.”

Pihak KPDNKK Kedah akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik premis terbabit mengikut Seksyen 41 Akta Perihal Dagangan 2011.

Jika sabit kesalahan boleh didenda RM 100, 000 bagi individu dan RM 250, 000 bagi syarikat atau penjara enam bulan atau kedua duanya.-Astro Awani

No comments:

Post a Comment