INFO: PEMERINTAHAN KESULTANAN MELAKA SUDAH BERAKHIR, MUNCUL PULA INDIVIDU DAKWA PEWARIS DAN SULTAN

KUALA LUMPUR:  Pemerintahan Kesultanan Melaka telah berakhir kira-kira lima dekad yang lepas, namun negeri bersejarah itu sering menjadi idaman beberapa pihak yang mendakwa pewaris takhta dan berminat untuk 'menghidupkan' semula kesultanan itu.

Antaranya yang terbaharu ialah ahli perniagaan Noor Jan Tuah yang sejak beberapa tahun lepas ada mengemukakan tuntutan sebagai sultan Melaka namun tuntutan beliau tidak pernah dilayan.

Cubaan terbaharunya dengan mengemukakan 'surat pengiktirafan' Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tetapi surat itu terbukti palsu yang membawa kepada penangkapan beliau pada awal bulan ini.

Di samping itu, muncul pula individu lain yang mendakwa mempunyai kuasa magis untuk mengembalikan institusi kesultanan Melaka termasuk boleh menurunkan bencana kepada negeri itu jika permintaannya tidak ditunaikan.

Menggunakan nama Bonda Ratu Kuasa Alam Tan Sri Sharifah Norlaini Kesemua Dinegeret, warga Indonesia itu mendakwa suaminya adalah pewaris sebenar kesultanan itu.

Meskipun begitu, kes Noor Jan lebih popular berikutan kisahnya turut dilaporkan dalam media massa di samping laman-laman sosial.

Sekiranya perkara ini tidak dibendung, tidak mustahil selepas ini akan ada lagi pihak yang akan mencuba nasib merebut 'takhta' kesultanan yang berkubur pada tahun 1511 Masehi apabila Portugis menawan Melaka dan sultannya yang terakhir, Sultan Mahmud Shah melarikan diri ke Johor.

Situasi ini telah meresahkan rakyat Melaka walaupun ramai yang tidak percaya dengan tuntutan itu namun ada juga yang tidak menolaknya di samping sebahagian yang bersikap tidak ambil peduli.

DAKWAAN TIDAK MUNASABAH

Bolehkah seseorang menganggap Noor Jan, yang menamakan dirinya sebagai Tuanku Raja Noor Jan Shah ibni al-marhum Y.A.M. Raja Tuah Shah sebagai seorang opotunis yang mendambakan kehidupan penuh kemewahan yang dikaitkan dengan kerabat diraja?

Apatah lagi Melaka adalah sebuah negeri yang pesat membangun dan kukuh dari segi kewangannya, yang bermakna 'sultan'nya (jika ada) juga akan menikmati limpahan kemewahan.

Meskipun Noor Jan tidak mempunyai perakuan sah untuk menuntut takhta kesultanan Melaka, namun yang jelas beliau mendapat komentar-komentar umum di laman sosial. Beliau mendakwa kononnya mempunyai kelengkapan "pakaian diraja" dan malahan mengadakan "majlis diraja" untuk panganugerahan gelaran kebesaran.

NOOR JAN AMBIL KESEMPATAN

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, setelah penubuhan Negeri-Negeri Selat (oleh British pada 1826), tidak ada mana-mana pihak boleh mendakwa atau menuntut takhta kesultanan di negeri-negeri tersebut.

Melaka adalah antara tiga negeri yang termasuk di bawah Negeri-Negeri Selat selain Pulau Pinang dan Singapura.

Polis mengambil tindakan menangkap Noor Jan bersandarkan kepada perundangan yang ada kepada kerajaan negeri, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri dan Perlembagaan Persekutuan.

Zahid turut mempersoalkan tindakan lelaki berusia 56 tahun itu yang dilihat sebagai cuba mengambil kesempatan terhadap kemakmuran dan keharmonian Melaka setelah negeri itu diiktiraf sebagai sebuah negeri maju.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron pula kesal terhadap tindakan Noor Jan yang cuba mengelirukan rakyat Melaka dan meminta semua pihak tidak tertipu dengan dakwaan tidak berasas itu.

Idris berkata, kerajaan negeri Melaka menolak tuntutan ahli perniagaan itu kerana perbuatan itu jelas mencabar Perlembagaan Persekutuan, yang hanya mengiktiraf sembilan sultan yang sedia ada sekarang.

TINDAKAN HINA INSTITUSI RAJA

Pengkaji sejarah kesultanan Melayu, Raja Yusuf Izzudin Raja Datuk Pahlawan Lope Ahmad berkata, sikap Noor Jan yang melampau dan tidak pernah serik mengeluarkan pernyataan palsu tentang statusnya sebagai sultan Melaka sepatutnya sudah lama diambil tindakan.

Menurutnya, cubaan membuktikan tuntutan beliau melalui salasilah kesultanan Perak yang dimanipulasi serta mendakwa dirinya ada kesaktian tertentu sehingga dapat mencari alat-alat kebesaran Melaka adalah satu tindakan keterlaluan.

"Tindakan ini sebenarnya menghina institusi raja di negara ini. Bukan kita tidak tahu beliau pernah cuba merempuh masuk majlis anjuran Istana Negara dengan pengikut-pengikutnya (tidak lama dahulu)," katanya yang juga pengasas blog sejarah kesultanan Melayu Perak iaitu 'SembangKuala.'

Berbekalkan 'fakta' yang dikemukakannya, Noor Jan telah beberapa kali mendesak kerajaan pusat dan negeri serta mengugut Majlis Raja-raja untuk mengiktiraf dirinya sebagai pemerintah Melaka yang sah.

"Semua dakwaannya atas dasar 'syok sendiri' sahaja termasuklah dakwaan mendapat mandat ICJ yang merupakan satu penipuan besar," tegas Raja Yusuf.

Beliau kemudiannya menjelaskan, sejak kali pertama beliau mendapat tahu tentang mandat ICJ yang didakwa Noor Jan, beliau telah membuat semakan di laman sesawang rasmi mahkamah keadilan antarabangsa itu.

Hanya ada dua kes yang diadili di ICJ membabitkan Malaysia iaitu kes tuntutan bertindih ke atas Pulau Sipadan dan Ligitan serta kes pertindihan tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh.

"Kita juga jangan lupa bahawa selain tuntutan beliau (Noor Jan) ke atas Melaka, beliau turut mengelarkan diri sebagai Sultan Perak yang ke-35 sedangkan Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah masih bertakhta di Perak," katanya.

FAKTA YANG TIDAK BERASAS

"Semua bukti yang dikemukakan bukan sahaja tidak berasas, bahkan membuktikan bahawa Noor Jan sendiri tidak faham tentang kesultanan Perak dan Melaka itu sendiri," kata Raja Yusuf.

Tambahnya, isu menghidupkan kembali kesultanan Melaka tidak pernah menjadi agenda oleh mana-mana sultan Perak, walaupun mempunyai peluang untuk berbuat demikian.

"Hang (kamu - merujuk kepada Noor Jan) orang Perak, nak tuntut Melaka, sedangkan sultan-sultan sebelum ini tidak pun berbuat begitu.

“Ambil contoh, Sultan Sir Alang Iskandar (nama rasmi baginda ialah Sultan Iskandar Shah - Sultan Perak ke-30) yang mempunyai hubungan sangat rapat dengan British hingga berjaya mendapatkan semula jajahan Dindings pada 1937 juga tidak berbuat begitu.

Sedangkan Dindings boleh dapat semula setelah hampir 10 tahun mengemukakan rayuan kepada British apatah lagi Melaka. Hakikatnya Melaka hanyalah sebuah kenangan yang perlu dijadikan sempadan," katanya.

TAMING SARI BUKAN ALAT KEBESARAN SULTAN MELAKA

Noor Jan juga mendakwa memiliki keris Taming Sari, yang dikatakan sebagai alat kebesaran Kesultanan Melaka namun seorang peminat sejarah kesultanan Melayu, Muhamad Adha Abdul Jalil menangkis dakwaan itu dan berkata bahawa keris itu bukan alat kebesaran tetapi senjata Laksamana Melaka, Hang Tuah.

Beliau, yang juga lebih dikenali sebagai Ku Alam berkata, dakwaan alat kebesaran itu telah dikeluarkan daripada perut bumi menggunakan proses mistik selama tiga tahun setengahnya oleh Noor Jan sebenarnya bukan alat kebesaran kesultanan Melaka.

Antara alatan yang dikatakan dimiliki Noor Jan setelah diambil dari alam ghaib termasuk cop mohor, keris, anak keris, pending, kalung dan mahkota yang dikatakan milik sultan-sultan Melaka terdahulu.

Melalui blog Ku Alam iaitu 'Payung Mahkota Dirgahayu Raja Melayu,' beliau menjelaskan bahawa sebagai sebuah kesultanan yang berasal daripada Teras Kesultanan Melaka, sebahagian aturan adat kesultanan Perak menyamai istiadat kesultanan Melaka.

Satu daripada alat kebesaran kesultanan Perak yang paling utama dalam upacara pertabalan sultan ialah nobat dan pewaris takhta Perak harus mewarisi nobat daripada waris yang terdahulunya.

"Mewarisi nobat bukanlah hanya pada alatannya, tetapi mesti juga bersama para pemainnya yang terpilih sejak turun temurun iaitu 'Orang Kalur’ yang mana ketuanya bergelar 'Toh Setia Guna' serta pembantunya bergelar 'Toh Setia Indera'.

Selain nobat, alat kebesaran yang cukup penting dalam istiadat mengangkat sultan ialah pedang Chura Si Manjakini atau Curi' Sa-Menta Dakini, sejenis pedang perang.

Tanpa kedua elemen kebesaran (Nobat dan pedang) itu, sultan tidak boleh diangkat, kata Ku Alam.

Kesimpulannya tiada siapa yang boleh mendabik dada mengangkat diri sebagai sultan selagi tidak mempunyai alat-alat kebesaran itu.- BERNAMA

Comments

Popular Posts