PENDAKI WANITA WARGA JERMAN MAUT DI GUNUNG KINABALU
KOTA KINABALU: Seorang pelancong wanita warga Jerman maut selepas terjatuh dari puncak Gunung Kinabalu di Ranau, yang ketinggiannya mencecah 4,095 meter dari aras laut.
Difahamkan ketika kejadian pada 6 pagi semalam, mangsa, Victoria Paulsen, 22, bersama rakan-rakannya sedang menunggu matahari terbit di puncak gunung tertinggi di Malaysia itu.
Ketua Polis Daerah Ranau DSP Abdul Rahman Kassim berkata mangsa yang sedang menuntut di Universiti Xiamen, China itu dikatakan jatuh dari salah satu puncak di gunung itu yang dikenali sebagai 'Low Peak' pada ketinggian dianggarkan 30 meter.
Beliau berkata operasi mengeluarkan mayat dilakukan pihak Taman-Taman Sabah sebaik laporan diterima oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau pada kira-kira pukul 7 pagi.
"Mayat mangsa berjaya dibawa keluar pada jam 6 petang dan kini ditempatkan di rumah mayat di Hospital Ranau sementara menunggu post mortem," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Abdul Rahman berkata pihaknya akan berhubung dengan pihak kedutaan Jerman untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Seksyen Perlindungan dan Penguatkuasaan Taman-Taman Sabah Thomas Yussop berkata mangsa dipercayai berada di luar kawasan garisan selamat untuk mengambil gambar matahari terbit.
"Mangsa dipercayai mengalami kecederaan teruk di kepala dan kaki dan punca kejadian sebenar masih disiasat, " katanya.
Gunung Kinabalu merupakan gunung kelima tertinggi di AsiaTenggara.- BERNAMA
Comments
Post a Comment