Followers

INFO: PENDUDUK KG BATU 60 BEAUFORT MOHON JAMBATAN KONKRIT


BEAUFORT:  Kira-kira 500 penduduk kampung memohon Jabatan Kerja Raya (JKR) menyegerakan pembinaan sebuah jambatan konkrit bagi menggantikan jambatan lama yang digunakan sebagai laluan utama ke Kampung Batu 60 dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Batu 60, Ng Pan Sung berkata permohonan pembinaan jambatan konkrit itu telah diajukan kepada JKR dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun yang menyambut baik hasrat berkenaan.

"Pihak terbabit perlu menyegerakan pembinaan jambatan itu bagi memudahkan perhubungan penduduk khususnya dari pekan Beaufort," katanya kepada pemberita selepas mengiringi Azizah yang juga Anggota Parlimen Beaufort melawat mangsa banjir di Kampung Batu 58 dan Batu 60 dekat sini, hari ini.

Bernama difahamkan penduduk kampung di kawasan itu telah terputus hubungan setelah jambatan kayu yang digunakan sekian lama runtuh akibat banjir yang melanda daerah ini sejak Rabu lepas.

Ng berkata kira-kira 300 penduduk kampung itu tidak dapat berpindah kerana terputus hubungan manakala 147 orang lagi terpaksa berpindah ke lereng bukit dan membina khemah sendiri sebagai perlindungan.

"Mereka telah diberi bantuan sejak semalam sehingga hari ini dan kami amat berterima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang telah menghantar makanan," katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Beaufort Isnin Aliasnih turut menghantar bekalan makanan kepada penduduk di Kampung Melulugus dekat sini.

Bagi seorang penduduk, Kasalian Pungut, 49, berkata beliau sekeluarga amat bersyukur dan berterima kasih dengan bantuan yang disalurkan kerajaan ketika rakyat ditimpa bencana banjir.-BERNAMA

No comments:

Post a Comment