INFO: SPR AKAN KAJI SARANAN DENDA WAKIL RAKYAT SENGAJA LETAK JAWATAN


KUALA LUMPUR:  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengkaji saranan memorandum yang dikemukakan oleh Pergerakan Pemuda GERAKAN yang mahukan SPR mendenda mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau ahli parlimen yang sengaja meletak jawatan tanpa ada alasan yang kukuh sehingga menyebabkan pilihan raya kecil terpaksa diadakan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengesahkan ada menerima memorandum yang dihantar oleh Pemuda GERAKAN pada pagi tadi dan berkata bahawa segala saranan yang diberikan akan dikaji terlebih dahulu oleh mereka.

“Saranan yang diberikan itu akan kami kaji dengan penasihat undang-undang SPR dan bukanlah di bawah bidang kuasa kami untuk memutuskan sama ada boleh mendenda mereka (wakil rakyat dan ahli parlimen) atau tidak kerana ianya tertakluk di bawah bidang kuasa Parlimen,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Namun, menurutnya memang terdapat undang-undang yang melarang mana-mana wakil rakyat atau ahli parlimen yang meletakkan jawatan sebelum tamat penggal perkhidmatan dari bertanding dalam mana-mana pilihan raya untuk tempoh lima tahun.

“Bekas ADUN Kajang, Lee Chin Cheh tidak dibenarkan bertanding untuk mana-mana pilihan raya untuk tempoh lima tahun bermula pada 27 Januari lalu,”.

Dalam rang undang-undang tambahan Parlimen Artikel 48(6) menghalang mana-mana wakil rakyat yang meletakkan jawatan tidak dibenarkan bertanding untuk mana-mana pilihanraya untuk tempoh lima tahun.

Pergerakan Pemuda GERAKAN memlaui Ketua Pemuda, Tan Keng Liang pada pagi tadi telah menyerahkan satu memorandum di pejabat SPR dan antara lainnya, kandungan memorandum itu mencadangkan agar SPR meminda peraturan yang sedia ada agar membolehkan denda sebanyak RM100,000 dikenakan kepada ADUN manakala RM20,000 pula dikenakan kepada ahli parlimen yang bertindak sengaja meletakan jawatan dengan sengaja sebelum tamat tempoh penggal perkhidmatan.

Menurutnya, tindakan tersebut menyebabkan pilihan raya kecil terpaksa diadakan dimana ianya mengakibatkan pembaziran perbelanjaan kira-kira RM2 juta dimana ianya sepatutnya digunakan untuk kepentingan rakyat. - Astro Awani

Comments

Popular Posts