Followers

INFO: KESAN HUDUD DI BRUNEI HANYA BOLEH DINILAI SELEPAS 3 TAHUN - TUN ABDUL HAMID


KUALA LUMPUR:  Keberkesanan pelaksanaan hukum hudud di Brunei hanya boleh dinilai dalam tempoh tiga atau lima tahun lagi, kata bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad.

Abdul Hamid yang turut menjadi penasihat dalam perangkaan undang-undang hudud di Brunei berkata dalam tempoh itu para pengkaji dan negara yang ingin mengikut jejak langkah Brunei boleh menilai sama ada pelaksanaan hukuman itu mampu mengurangkan kadar jenayah atau sebaliknya.

"Kita belum boleh membuat penilaian mengenai pelaksanaan undang-undang itu di Brunei kerana ia belum dilaksanakan. Mungkin dalam tempoh tiga atau lima tahun lagi kita boleh melihat bagaimana pelaksanaan sebenar dan kesannya.

"Adakah negara Brunei, yang sudah pun aman tenteram itu, akan menjadi lebih aman dan tenteram? Setakat ini negara-negara yang melaksanakan hukuman hudud, seperti Pakistan, Nigeria dan Sudan nampaknya masih jauh di belakang berbanding dengan negara-negara yang tidak melaksanakan hukuman hadud seperti Sweden, Norway, Iceland, Denmark dan Jepun," katanya ketika berucap dalam ceramah awam bertajuk 'Kesan Hudud di Brunei: Perbezaan Antara Brunei dan Malaysia' di International Institute Of Advance Studies (IAIS), di sini.

Brunei akan menguatkuasakan hudud secara berperingkat-peringkat, bermula dengan kesalahan-kesalahan ta'zir (seperti kesalahan khalwat dan perbuatan tidak sopan) April ini.

"Peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Kanun Keseksaan akan berjalan seperti biasa dan kes-kes itu akan terus dibicarakan oleh Mahkamah Sivil. Ini kerana kerja-kerja mengemaskini undang-undang berkaitan seperti acara jenayah, undang-undang keterangan dan lain-lain masih belum selesai," katanya.

Abdul Hamid berkata sekiranya hudud hendak dikenakan di negara ini, bagi kesalahan jenayah, ia hanya boleh dilakukan sekiranya dipinda sebagai undang-undang persekutuan dan bukan kesalahan terhadap suruhan agama Islam seperti yang diperuntukkan dalam Senarai II (Senarai Negeri), Perlembagaan Persekutuan.

Katanya Perlembagaan tidak menghalang untuk pelaksanaan sedemikian dan Parlimen boleh memilih apa-apa hukuman kepada kesalahan jenayah, termasuk hukuman mengikut Syariah.

"Dengan cara itu, penguatkuasaannya boleh meliputi orang Islam dan bukan Islam (undang-undang persekutuan). Sebagai undang-undang jenayah ia terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil. Mahkamah Sivil mempunyai bidang kuasa ke atas orang Islam dan bukan Islam.

"Sekiranya Parlimen Malaysia hendak membuat undang-undang seperti itu, tidak ada pindaan perlembagaan yang perlu dibuat dan rang undang-undang itu hanya perlu diluluskan dengan majoriti.

"Jika ia hanya terpakai kepada orang Islam sahaja, ia akan bercanggah dengan peruntukan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan kerana itu adalah satu diskriminasi atas alasan agama dan oleh itu tak berperlembagaan, tak sah dan batal," katanya.

Abdul Hamid turut menegaskan bahawa perbezaan penetapan undang-undang antara negara ini dan Brunei juga menjadi faktor kesukaran untuk mengikut jejak langkah melaksanakan hudud.

Katanya Brunei memberi kuasa penuh kepada Sultan untuk menggubal dan meminda perundangan tetapi Malaysia adalah negara Persekutuan yang mempunyai bidang kuasa tertentu termasuk kerajaan negeri.

"Mungkin Brunei akan membuktikan sesuatu kelak. Kita tunggu dan lihat. Sekurang-kurangnya di Brunei ada satu perbezaan. Di Brunei pelaksanaannya bukanlah kerana survival politik atau untuk memenangi pilihan raya yang terdekat. Kerja-kerja ke arahnya (pengkajian hudud) telah berjalan kira-kira 30 tahun dan masih belum selesai," katanya.

Ditanya pemberita berhubung pendapatnya sama ada hudud sesuai dilaksanakan di Malaysia, Abdul Hamid berkata:"Saya memberi pendapat berasaskan undang-undang. Kajilah kesannya." - BERNAMA

No comments:

Post a Comment