#PRAY4MH370 : HAYAT BATERI KOTAK HITAM BERKURANGAN, CARIAN DITERUSKAN HARI INI

KUALA LUMPUR:  Dengan hayat bateri kotak hitam pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 tinggal dua hari lagi, pasukan pelbagai negara gigih meneruskan usaha pencarian pesawat itu yang hilang sejak 28 hari lepas.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) di Perth, Australia hari ini menyatakan pasukan berkenaan melakukan pencarian di kawasan seluas 217,000 kilometer persegi, yang terletak kira-kira 1,700 kilometer di barat laut Perth, Australia.

Menurut kenyataan JACC sebanyak 10 pesawat tentera, empat pesawat awam dan sembilan kapal dikerahkan untuk membantu pencarian pesawat itu hari ini.

"Pencarian hari ini memberi tumpuan kepada tiga kawasan dalam sekitar yang sama. Pesawat pertama akan berlepas ke kawasan pencarian pada 6 pagi Waktu Standard Barat," kata JACC yang dilancarkan pada 1 April lepas bagi menyelaraskan pencarian pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi.

Sejumlah 26 sukarelawan Perkhidmatan Kecemasan Negeri (SES) dari Australia Barat, New South Wales dan Victoria juga bertugas sebagai pemerhati udara dalam tiga pesawat awam itu.

"Pesawat awam lain akan beroperasi sebagai geganti komunikasi," kata JACC.

Menurut JACC cuaca hari ini dijangka cerah dengan jarak penglihatan kira-kira 10 kilometer dan asas awan antara 1000 dan 2000 kaki.

Biro Keselamatan Pengangkutan Australia pula akan terus meneliti kawasan perairan yang mungkin dimasuki pesawat itu berdasarkan kepada analisis teknikal pelbagai disiplin komunikasi satelit dan prestasi pesawat.

Analisis teknikal itu diperoleh daripada pasukan penyiasatan nahas udara antarabangsa dari Malaysia, Amerika Syarikat, United Kingdom, China dan Australia, kata JACC.

Kotak hitam itu antara lainnya mengandungi rakaman suara dan perakam data penerbangan, yang penting bagi menentukan apa berlaku kepada pesawat itu, yang hilang pada 8 Mac lepas.

Hayat bateri kotak hitam itu ialah 30 hari.

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi hari sama.

Pasukan pelbagai negara pada mulanya mencari pesawat itu di kawasan Laut China Selatan dan kemudiannya, selepas pesawat itu dikesan melencong daripada laluan, di sepanjang dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi.

Susulan hasil analisis terhadap data satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah Lautan Hindi, barat Perth.

Pada 24 Mac, iaitu 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200ER itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi" - BERNAMA

Comments

Popular Posts