HUDUD : NURUL IZZAH KATA APA??????!!!
LADY tak hairan dengan kata anak Anwar Ibrahim ini. Ia bukan satu kejutan kerana dah berbera0a kali beliau menyatakan pandangannya berkaitan agama yang sudah pasti menjadi kontraversi. Bukan orang sengaja nak menenyeh hujah dia kerana dia anak Anwar. Tetapi perkataannya penyebab orang mengkritik kenyataannya.
Kali ini dia buat hal lagi. Mungkin LADY agak terlambat menyatakannya. Tetapi pada LADY lebih elok berhati-hati memberi kenyataan . Mengelak satu tindakan selamat dan bijak dari memperkatakan sesuatu yang menampakkan kita berada posisi menongkah arus berkaitan isu hudud ini.
Sila baca artikel Astro Awani ini. Dan baca kenyataan Nurul Izzah. Bukan fitnah tetapi fahami mesej dia sampaikan!
Ahli Parlimen BN, Pakatan Rakyat berhati-hati ulas isu hudud Kelantan T K Letchumy Tamboo | Kemas kini: April 03, 2014
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat umumnya mengelak untuk mengulas keputusan kerajaan negeri Kelantan mahu mengemukakan rang undang-undang persendirian di Parlimen bagi membuka jalan kepada pelaksanaan undang-undang jenayah Islam hudud dan qisas di negeri itu selewat-lewatnya tahun depan.
Kebanyakkan mereka yang didekati oleh Astro AWANI mengelak daripada menjawab soalan mengenai pengumuman kerajaan negeri Kelantan itu dan enggan memberikan sebarang komen.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah berkata beliau tidak mahu mengulas isu itu tetapi menyerahkan kepada peringkat akar umbi untuk mengkajinya.
"Saya tidak mahu komen. Biar akar umbi kaji," katanya yang juga Ahli Parlimen Semporna.
Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman pula berkata masih terlalu awal untuk membincangkan keputusan kerajaan negeri Kelantan itu dan meminta masa sehingga rang undang-undang persendirian itu dikemukakan kepada Parlimen terlebih dahulu.
“Apabila rang undang-undang persendirian itu sampai ke Parlimen, kami (ahli parlimen BN) akan membuat pendirian kami. Kami tidak mahu membuat spekulasi yang tidak perlu. Apabila masa yang sesuai sampai, kami akan membuat pendirian,” kata Ahli Parlimen Pasir Salak itu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata isu pelaksanaan hudud bukannya satu perkembangan baru di peringkat negeri Kelantan.
“Bagi saya ini adalah tentang ‘faith of priority’ (keutamaan). Apa yang penting dan yang harus diberi keutamaan (sekarang) adalah perkara-perkara seperti ‘good governance’ (urus tadbir baik), menghapuskan rasuah dan mengurangkan kadar kemiskinan.
“Ini adalah fokus saya sebelum beralih ke isu pelaksanaan hudud,” katanya, yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun daripada DAP pula menolak hasrat kerajaan negeri Kelantan itu.
"Saya secara peribadi tidak setuju," katanya ringkas. Beliau enggan mengulas lanjut sebaliknya hanya menggeleng-gelengkan kepala sebelum beredar pergi.
Dalam pada itu, beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat berpendapat masih terlalu awal untuk membincangkan perkembangan terbaru ini sebelum ia diperhalusi di peringkat Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat.
“Saya akan tunggu untuk perbincangan itu kerana ini bukannya satu isu yang mana sesiapa sahaja boleh membuat kenyataan. Seperti sebelum ini, isu-isu yang kontroversial akan kami bincangkan di Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat,” kata Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang juga Pengarah Strategik PKR.
Pendapat Rafizi itu dikongsi sama oleh Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok yang juga Ahli Parlimen Seputeh apabila berkata: "Pakatan Rakyat akan bincang isu ini."
Dalam pada itu, ada juga ahli parlimen yang menyifatkan hasrat kerajaan negeri Kelantan itu satu 'usaha akademik' kerana rang undang-undang persendirian tidak mungkin sampai ke peringkat dibentang untuk perbahasan di Dewan Rakyat.
“Saya sendiri pun ada banyak rang undang-undang persendirian yang tidak pernah sampai kepada Speaker Dewan. Saya tak hendak komen kepada isu yang hipotetikal seperti ini,” kata Naib Presiden PKR, Tian Chua yang juga Ahli Parlimen Batu.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Ahmad Yakob pada Rabu mengumumkan keputusan mesyuarat exco kerajaan negeri yang mahu menyiapkan dua rang undang-undang persendirian untuk dibawa ke Parlimen bagi merintis kepada pelaksanaan hudud dan qisas di Kelantan.
Keputusan itu katanya adalah sebagai menyambut baik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom bahawa kerajaan pusat sedia menyokong mana-mana negeri yang mahu menguatkuasakan undang-undang jenayah Islam.
"Kerajaan Negeri Kelantan sedia memberi jaminan bahawa sekiranya tiada halangan dari Kerajaan Persekutuan untuk memberikan laluan kepada dua undang-undang persendirian ini dibentang dan diluluskan di Parlimen, Insha-Allah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 paling lewat akan berkuatkuasa di Kelantan pada tahun 2015," katanya.
Dua rang undang-undang yang akan dikemukakan ke Parlimen itu ialah pertama, kebenaran kepada Kelantan untuk melaksanakan hudud dan qisas mengikut Artikel 76(A) Perlembagaan Persekutuan dan kedua, pindaan ke atas Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa) 1965 untuk bidang kuasa lebih luas kepada mahkamah syariah di Kelantan.
Bidang kuasa lebih luas itu akan membolehkan mahkamah berkenaan mengenakan hukuman sejajar dengan peruntukan hudud dan qisas dalam Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan yang diluluskan pada 1993.
Enakmen itu tidak dilaksanakan sehingga sekarang kerana dari segi undang-undang, kuasa pelaksanaan undang-undang jenayah bagi kesalahan-kesalahan yang terkandung dalam enakmen itu seperti hudud untuk mencuri dan merompak serta qisas untuk jenayah bunuh terletak pada kerajaan Persekutuan.
Kerajaan Persekutuan juga berpendirian undang-undang jenayah Islam yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan negeri Kelantan itu sebagai ciptaan PAS serta bertentangan dengan prinsip keadilan dalam Islam.
Jamil Khir dalam kenyataannya semasa menggulung usul titah ucapan Yang Di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat minggu lalu berkata kerajaan Persekutuan sedia untuk bersama menyokong sekiranya ada undang-undang persendirian berkaitan hudud dikemukakan di Parlimen.
Berita mula diterbitkan pada: April 03, 2014 17:30 (MYT)
Read more at:http://www.astroawani.com/news/show/ahli-parlimen-bn-pakatan-rakyat-berhati-hati-ulas-isu-hudud-kelantan-33102?cp
Ps: bapa borek anak rintik. Betullah tu!
Comments
Post a Comment