#PRAY4MH370: AUSTRALIA RANGKA PERJANJIAN JADI 'WAKIL BERTAULIAH' DALAM SIASATAN


PERTH:  Australia hari ini berkata pihaknya sedang merangka satu perjanjian komprehensif untuk berkhidmat sebagai 'wakil bertauliah' dalam penyiasatan mengenai kehilangan sebuah pesawat Malaysia Airlines (MAS).

Angus Houston, ketua penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) di sini, berkata perjanjian itu akan membolehkan Australia membantu Malaysia dalam menjalankan penyiasatan mengenai Penerbangan MH370 dengan berlandaskan undang-undang antarabangsa.

"Selain Australia, United Kingdom, Amerika dan China juga menjadi wakil bertauliah dalam penyiasatan itu," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Houston berkata Malaysia meminta Australia membantu dalam penyiasatan itu. Usaha mencari pesawat Boeing 777-200ER di selatan Lautan Hindi dijalankan dengan berpusat di luar Perth.

Dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis, Perdana Menteri Australia Tony Abbott mengumumkan negaranya menerima jemputan Malaysia untuk menjadi wakil bertauliah dalam penyiasatan itu.

Najib mengadakan lawatan dua hari ke Perth bermula Rabu lepas untuk menyampaikan ucapan terima kasih kepada Abbott serta melihat sendiri usaha mencari yang dilakukan di luar pantai bandar raya Australia barat ini.

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac dan hilang daripada skrin radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Usaha mencari yang melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan, apabila dipercayai pesawat berkenaan mengubah laluan dan terbang di sepanjang dua koridor - koridor utara iaitu dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan koridor selatan, dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Berikutan kaedah analisis terhadap data satelit yang pertama kali digunakan, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan UK Air Accidents Investigation Branch (AAIB) merumuskan bahawa Pesawat MH370 terbang di sepanjang koridor selatan, dengan kedudukan terakhirnya di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth.

Pada 24 Mac, iaitu 17 hari selepas kehilangan pesawat itu, Najib mengumumkan Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".

Mengenai operasi mencari pesawat berkenaan, Houston berkata pelbagai simulasi penerbangan dilakukan oleh pakar penerbangan untuk menentukan laluan penerbangan MH370 untuk mengecilkan kawasan tumpuan pencarian.

Katanya simulasi itu dibuat berpandukan hasil analisis terhadap data isyarat 'ping' atau nadi elektronik yang dipancarkan sejam sekali oleh pesawat berkenaan kepada satelit Inmarsat dalam tempoh enam jam.

Menurut beliau isyarat komunikasi itu kemudian dimatikan, kecuali isyarat  'ping', sebelum MH370 hilang, tetapi isyarat 'ping' tidak menunjukkan latitud atau kelajuan pesawat terbabit.
Analisis terhadap data berkenaan kini diteruskan, katanya.

"Semoga, hasil kiraan yang dibuat akan membolehkan kita memberi tumpuan di kawasan pesawat berkenaan berada," katanya. - BERNAMA

Comments

Popular Posts