EMPAT DITAHAN DALAM KES PENCULIKAN DI SEMPORNA

KUALA LUMPUR:  Polis telah menahan empat orang berkaitan dengan kes penculikan di Singamata Reef Resort Semporna , Sabah.

Menurut Ketua Polis Sabah Datuk Hamza Taib dalam satu laporan akhbar The Star, polis telah menahan tiga lelaki dan seorang wanita untuk disoal siasat pada Khamis untuk membantu siasatan.
"Kami sedang mendapatkan kenyataan mereka dan meneruskan siasatan kami," Hamza dipetik sebagai berkata.

Bagaimanapun, polis masih belum mendapatkan sebarang maklumat yang boleh membantu menyelesaikan kes itu.

Pelancong China Gao Huayuan, 29, pekerja resort dari Filipina Marcy Darawan @ Mimi , 40, telah diculik dari resort itu kira-kira jam 10.30 malam pada 2 April.

Tiga lelaki bersenjata memakai topeng telah dilihat memasuki resort dengan empat yang lain menunggu di atas bot dan di bawah dek dalam serbuan 30 minit itu.

Polis percaya tujuh lelaki bersenjata tergolong dalam kumpulan 'menculik untuk tebusan' dari Filipina Selatan, namun demikian tiada sebarang tuntutan wang tebusan setakat ini.

Kedua-dua mangsa itu dipercayai telah dibawa merentasi perairan antarabangsa dan kini berada di Filipina.

Gao ialah pelajar dari Shanghai yang datang ke Sabah untuk kursus menyelam. Polis berkata beliau mungkin mangsa rawak.

Polis dilaporkan menemu bual 49 kakitangan resort dan 61 tetamu - termasuk 59 pelancong China, satu warganegara Malaysia dan satu warga Iran.

Penyiasat berkata "orang dalam" mungkin membantu dalam penculikan dua wanita di resort pulau itu.

Semporna adalah sebuah bandar pantai di pantai timur Sabah, yang dilindungi di bawah Timur Zon Keselamatan Sabah ( ESSZONE ) yang ditubuhkan berikutan pencerobohan Lahad Datu oleh lelaki bersenjata Sulu pada Februari tahun lepas . - Astro Awani

Comments

Popular Posts