INFO: BELUM AFA PENGURANGAN SUBSIDI BAHAN API LAGI - AHMAD MASLAN
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk mengumumkan pengurangan subsidi bahan api terlebih dahulu kerana harga pasaran produk petroleum sukar untuk dijangka.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan (gambar) berkata, harga tersebut tertakluk kepada harga minyak mentah dunia yang tidak menentu dan berubah setiap hari.
"Pengumuman yang terlalu awal boleh menyebabkan aktiviti spekulasi seperti pengumpulan stok bahan api (hoarding activity) di mana keadaan ini adalah salah satu bentuk pembaziran tenaga," katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Ahmad Maslan berkata demikian semasa menjawab soalan daripada ahli Parlimen Labis yang bertanya samada bolehkah kementerian mempertimbangkan suatu mekanisme yang telus supaya rakyat dapat menjangka bila subsidi akan dikurangkan terutamanya subsidi bahan api.
Ahmad Maslan berkata, rasionalisasi subsidi dilaksanakan dengan berhati-hati terutamanya dalam persekitaran ekonomi global yang mencabar bagi memastikan kesan yang minimum dan tidak membebankan rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah.
"Dalam persekitaran luar yang tidak menentu, kebanyakkan negara telah mengambil langkah-langkah drastik untuk mengurangkan defisit fiskal mereka termasuk mengurangkan subsidi dengan kadar ketara.
"Namun begitu, Malaysia mengambil pendekatan secara berperingkat bagi menyokong pertumbuhan ekonomi yang berterusan dan pada masa yang sama memastikan kesejahteraan rakyat tidak terjejas," katanya.
Ahmad Maslan turut berkata, kerajaan sentiasa menekankan bahawa sistem pemberian subsidi di Malaysia perlu distruktur semula agar pemberian subsidi menjadi lebih focus dan menepati kumpulan sasar.
"Langkah rasionalisasi subsidi dilaksanakan secara pukal, yang membawa banyak ketirisan kepada subsidi yang bersasar.
"Di bawah prinsip ini, pemberian subsidi akan tetap diteruskan tetapi akan disasarkan hanya kepada golongan yang benar-benar memerlukan," katanya. - Astro Awani
Comments
Post a Comment