DILEMA AHLI PAS MENDAHULUI PARTI ATAU MENJAGA KEPENTINGAN PR?????
Baca sini dan fikirkan
Petang Jumaat, 22 November 2013 yakni dua hari dari sekarang PAS akan mengadakan pemilihan pucuk pimpinan yang dijangkakan paling sengit dalam sejarah parti itu berikutan pertembungan terbuka di antara puak yang dilabel sebagai ulama PAS dengan sekumpulan pemimpin berideologi Anwarinas yang berfahaman liberal.
Menariknya dalam pertembungan kali ini kedua-dua puak lebih tersusun gerakan mereka berbanding dua pemilihan sebelumnya terutama sekali dalam merebut jawatan Timbalan Presiden PAS yang kini disandang oleh Mohamad Sabu dari kumpulan Anwarinas.
Jika congak kira di atas kertas dijadikan sandaran gayanya seperti wakil kumpulan ulama PAS iaitu Nik Amar Nik Abdullah mempunyai peluang untuk merampas jawatan tersebut memandang imej agama yang dimilikinya sesuai dengan tuntutan resolusi yang diputuskan semasa Multaqa Ulamak Se-Malaysia September lepas.
Mereka sedar semenjak kumpulan Anwarinas hampir menguasai PAS pada pemilihan 2011 setelah merampas jawatan Timbalan Presiden di masa yang sama turut merangkul ketiga-tiga posisi Naib Presiden serta menguasai hampir sebahagian besar AJK PAS Pusat, hala tuju parti itu semakin tersasar dari landasan.
Dalam tempoh lebih dua tahun itu jugalah sekurang-kurangnya dua pemimpin PAS dari kumpulan ulama iaitu Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan Hasan Ali terpaksa dikorbankan gara-gara kekuatan pengaruh kumpulan Anwarinas dalam PAS yang terlalu mendahulukan aspirasi PR berbanding kepentingan PAS.
Disebabkan itu jugalah bagi kumpulan ulama PAS pemilihan ini medan penting untuk melunaskan dendam disamping membuktikan kelangsungan pengaruh mereka setelah diasak bertubi-tubi oleh puak Anwarinas.
Tapi jika faktor gerak kerja kempen diambil kira ternampak seperti Mat Sabu masih berpeluang untuk mengekalkan jawatan selain wujudnya asakan kuat dari rakan sepakatan PAS dalam PR yang lebih yakin kemenangan Mat Sabu amat penting untuk merapatkan lagi hubungan politik sesama pemimpin pembangkang.
Mat Sabu seperti diketahui umum cukup aktif meliberalkan PAS dalam usahanya meraih sokongan pengundi bukan Islam dan hasil usahanya itu sedikit sebanyak menyumbang kepada kejayaan PR yang hasilnya kini turut dinikmati ramai pemimpin PAS pro Anwarinas yang menjadi tok wakil di kawasan Parlimen dan DUN yang mempunyai pengundi bercampur.
Memilih Mat Sabu untuk kekal dengan jawatannya sekarang bermaksud kemenangan untuk PR dan ia tentu mengembirakan pimpinan DAP dan PKR. Kemenangan Mat Sabu mungkin juga diraikan segelintir pemimpin PAS yang menyanjung Ayatollah Khomeini yang kebetulan saat ini sedang tersepit disebabkan ancaman golongan ulama PAS.
Sebaliknya andai Nik Amar yang terpilih ia satu peluang untuk golongan ulama PAS bangkit memperbetulkan landasan perjuangan parti selanjutnya meraih semula sokongan orang Melayu Islam.
Yang pastinya, kedua-dua puak tahu pemilihan 2013 ini adalah soal hidup mati kerjaya politik masing-masing dalam parti, yang menang tidak akan tunggu lama untuk menyejukbekukan pengaruh lawannya yang kalah sama seperti yang berlaku selepas pemilihan PAS 2011.
Ini dilema besar untuk ahli PAS terutama sekali bagi perwakilan parti itu dalam tempoh 48 jam terakhir menjelang Muktamar PAS Ke-59 kerana dalam tempoh ini mereka perlu memutuskan antara mendahulukan aspirasi parti atau mengutamakan kepentingan PR yang mana satu prioriti mereka.
Sumber: mykmu
Comments
Post a Comment