JEREBU MELANDA LAGI

KUALA LUMPUR:  Jerebu yang melanda semula negara khususnya di sekitar pantai Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor dijangka berlaku untuk tempoh singkat, ekoran perubahan corak tiupan angin.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia di sini hari ini, corak tiupan angin itu akan berubah dalam tempoh dua atau tiga hari dengan angin barat laut kelajuan sederhana akan bertiup di utara Semenanjung dan angin lemah pelbagai hala akan bertiup di bahagian tengah dan selatan.

"Keadaan tiupan angin ini, dijangka akan membawa hujan terutamanya di bahagian pedalaman negeri-negeri di Semenanjung Malaysia," menurut kenyataan itu.

Malaysia masih mengalami Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga September.

Peningkatan bilangan titik panas dan keadaan cuaca yang agak kering sejak dua hari lepas telah mengakibatkan berlakunya keadaan berjerebu di beberapa kawasan di negeri Pantai Barat Semenanjung, menurut kenyataan itu.

Bukit Rambai, Melaka mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi dengan 125.

Dua lagi daerah mencatatkan bacaan 'tidak sihat' adalah Bandaraya Melaka (115) dan Banting (105).

Bukit Rambai mula mencatatkan bacaan 'tidak sihat' pada hari Ahad sekitar jam 8 pagi dengan bacaan IPU 102. Ini disusuli dengan Bandaraya Melaka dan Banting yang bermula mencatat bacaan 'tidak sihat' pada jam 2 pagi dan 4 pagi. 

IPU pada tahap antara 0 dan 50 adalah baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300) dan berbahaya (lebih 301).

Negeri-negeri yang mencatatkan bacaan tahap 'sederhana' adalah Johor (kecuali kawasan Kota Tinggi yang mencatat bacaan 'Baik'), Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang (kecuali kawasan Jerantut yang mencatat bacaan 'Baik'), Perah, Perlis, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu (kecuali kawasan Paka yang mencatat bacaan 'Baik'), dan Wilayah Persekutuan (kecuali Labuan yang mencatat bacaan 'Baik').

Sabah dan Sarawak mencatat bacaan yang 'Baik' kecuali daerah Bintulu dan Kapit yang mencatat bacaan 'Sederhana'.

Bulan lepas, Malaysia mengalami jerebu yang agak teruk sehingga ada kawasan mencatatkan tahap pencemaran udara berbahaya dan sekolah terpaksa ditutup sementara. -BERNAMA

Ps: 4 hari di Beijing minggu lepas. Lawatan kerja. Suasana sana juga berjerebu. 2 hari terakhir semakin teruk. Agaknya cuaca yang terlalu panas kot.

Comments

Popular Posts