Followers

JAKIM PANTAU PERGERAKAN SYIAH DI MALAYSIA


 
KOTA BAHARU:   Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) masih memantau pergerakan Syiah dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri-negeri memandangkan jumlah pengikut fahaman itu berbeza mengikut negeri.
 
Ketua Pengarahnya Datuk Othman Mustapha berkata setakat ini tiada bilangan spesifik pengikut fahaman itu memandangkan jumlahnya meningkat setiap hari.
 
"Jabatan Agama Islam Negeri juga menjalankan pemantauan bagi membantu kita (Jakim) mengesan kelompok mana yang terlibat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Saudara Muslim Masyarakat Orang Asli Peringkat Negeri Kelantan di Pusat Latihan Dakwah Orang Asli, Kok Lanas di sini, malam tadi.
 
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kerajaan akan mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang mengamalkan fahaman Syiah di negara ini tanpa mengira status atau fahaman politik mereka.
 
Jamil Khir dilaporkan berkata apabila bercakap tentang Syiah, anggotanya amat sukar dikesan kerana golongan itu selalunya menyembunyikan identiti dan sering berbohong bagi mengelakkan diri mereka dikesan menganuti fahaman itu.
 
Sementara itu, pada majlis itu, 36 orang Asli telah diIslamkan dengan mengucap dua kalimah syahadah.
 
Othman berkata Jakim dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri telah menubuhkan satu Jawatankuasa Penyelarasan Pendaftar Mualaf bagi seluruh negara.
 
"Penubuhan jawatankuasa ini bertujuan bagi membincangkan pelbagai isu yang berkaitan dengan pengurusan saudara muslim serta kebajikan mereka, " katanya.
 
Beliau berkata Jakim sedang merancang untuk membangunkan satu sistem yang dinamakan e-Mualaf bagi mengumpulkan semua maklumat berkaitan saudara muslim dalam satu capaian mudah untuk diakses.
 
Turut hadir Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan Datuk Che Mohd Rahim Jusoh dan Pengerusi Islamik Outreach Kelantan Datuk Dr Abdul Razak Kechik. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment