CADANGAN PENUBUHAN RCI SIASAT "RED BEAN ARMY" DIBAWA KE KABINET JUMAAT INI

Cadangan penubuhan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat kewujudan tentera siber pembangkang yang dikenali sebagai 'Red Bean Army' akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Jumaat ini, kata Menteri di Jabatan Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Katanya beliau menerima memorandum daripada 130 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam seluruh negara hari ini yang mencadangkan kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat tentera siber itu.

Beliau berkata NGO berkenaan berpandangan RCI perlu ditubuhkan berdasarkan rasional hasutan-hasutan melalui portal maya yang boleh menjejaskan perpaduan dan kestabilan politik di negara ini.

"Kita mengambil berat akan cadangan ini demi menjaga keharmonian rakyat negara ini dan cuba mencari dalang di sebalik operasi dan pembiayaan "Read Bean Army," katanya pada sidang media di lobi Parlimen Selasa.

Sementara itu, Shahidan berkata beliau akan menjawab isu kandungan bahan kimia 'silver nitrate' dalam dakwat kekal yang digunakan dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada sidang media esok, dijadualkan di lobi Parlimen.

Secara amnya kandungan 'silver nitrate' dalam dakwat yang digunakan pada PRU13 adalah kurang daripada satu peratus, katanya.

"Kita mengambil pengalaman Kementerian Kesihatan dalam menggunakan silver nitrate untuk rawatan penyakit kulit tanpa memudaratkan pesakit.

"Kadar yang tidak memudaratkan ialah sekitar 0.5 hingga 1 peratus, selebihnya saya akan jawab esok," katanya. - BERNAMA

Comments